Tasik Tandus di Padang Pasir, drama pendek dalam format vertikal
DRAMA pendek baharu, Tasik Tandus di Padang Pasir diperkenalkan dalam format vertikal eksklusif pertama di negara ini, khusus untuk tontonan mudah alih.
Ketua Jabatan Produk seeNi dan KLiiK, Ellyna Zakaria berkata, drama 10 episod itu telah disiarkan di aplikasi seeNi sejak 26 Oktober lalu meraih sehingga 2.9 juta tontonan.
“Drama ini mengisahkan pasangan suami isteri sebagai hos audio siar dalam program bertajuk From Kelamin With Love (FKWL) yang menceritakan masalah di alam perkahwinan.
“Kandungannya juga sedikit sebanyak membantu pasangan suami isteri di luar sana yang mungkin mempunyai masalah sama dalam perkahwinan juga,” katanya selepas tayangan perdana drama berkenaan di sebuah pawagam di pusat beli-belah di sini pada Selasa.
Tambah Ellyna, platform seeNi tersebuf perlu dimuat naik bagi membolehkan pengguna daripada pelbagai peringkat umur mengaksesnya.
Menurutnya, drama berbentuk vertikal berkenaan turut menawarkan pengalaman sinematik moden dan dinamik dengan episod ringkas yang memberikan impak mendalam kepada penonton.
“Penggunaan format ini membolehkan mereka mengikuti drama pendek Tasik Tandus di Padang Pasir di mana-mana dan pada bila-bila sahaja.
“Kita akan bagi pelbagai lagi kandungan video untuk pengguna menikmati aplikasi yang dimuat naik dan sesuai digunakan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pengurus Kanan Ideaktiv, Che Wan Azrul Arif berkata, drama pendek berkenaan mendapat kritikan daripada pengguna menyebabkan pihaknya melaksanakan audio siar bertajuk ‘WTH?’ yang dihoskan Hazeman Huzir.
Ujarnya, segmen tersebut menampilkan Pakar Fertiliti dan Ginekologi bagi menjawab persoalan-persoalan pengguna berkaitan isu dalaman rumahtangga.
“Kita akan keluarkan audio siar dengan menyentuh topik ‘taboo’ yang dikecam pengguna, itu antara usaha kita untuk menarik minat orang ramai menonton drama pendek ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!