Peluang pemain wanita negara menyerlah di ACT 2024

Para pemain yang akan menggalas cabaran negara pada ACT Wanita 2024 di Bihar minggu depan. Foto FB MHC.
Para pemain yang akan menggalas cabaran negara pada ACT Wanita 2024 di Bihar minggu depan. Foto FB MHC.
A
A
A

KEJOHANAN Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 Rajgir, Bihar, India minggu depan bakal menyaksikan Malaysian Tigress mempertaruhkan 10 pemain daripada skuad remaja yang akan turut beraksi pada Piala Remaja Asia 2024 Disember depan.

Menerusi senarai 20 pemain itu empat pemain, Zawiatul Akma Hartomo (pertahanan), Nur Aisyah Che Musa (tengah), Nurathirah Fitriah Syamsul Adzuanizam (penyerang) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (penyerang) bakal membuat penampilan antarabangsa pertama mereka sekiranya diturunkan pada kejohanan tersebut.

Biarpun terpaksa melupakan khidmat empat pemain berpengalaman Hanis Nadiah Onn, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Siti Zulaikha Husain akibat kecederaan, namun Ketua Jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim enggan cepat melatah.

Beliau sebaliknya melihat situasi itu sebagai peluang terbaik untuk pemain muda dan tenaga baharu menyerlahkan kemampuan beraksi di pentas antarabangsa.

“Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama termasuk mereka yang pernah beraksi pada Kejohanan ACT edisi lalu, saya percaya 20 pemain yang dipilih ini akan memberikan persembahan terbaik.

"Malah saya juga yakin, pemain senior sedia ada akan membantu pemainpemain lain untuk lebih menyerlah.

“Permainan hoki moden sudah berubah dan perlawanan menjadi semakin pantas. Saya yakin gabungan pemain muda serta senior yang mempunyai kemahiran hoki yang baik bakal menjadi ramuan terbaik pasukan untuk memberikan tentangan kepada lawan,” katanya.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Rajgir itu akan bermula dari 11 hingga 20 November.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Rogayah Mohamad menuntut setiap pemain untuk memberikan persembahan terbaik dalam semua perlawanan yang dilalui serta turun beraksi dengan jiwa berjuang untuk negara.

“Setiap pasukan dalam apa-apa kejohanan mahukan kemenangan, namun kami bersikap realistik di mana kejohanan ini menampilkan pasukan-pasukan gergasi Asia. Bagaimanapun kami mahukan setiap pemain melakukan sehabis baik yang mereka mampu lakukan ketika beraksi.

“Kejohanan ACT 2023 di Ranchi, kami mengikat Korea 1-1 dan tidak mustahil jika pemain turun dengan semangat dan jiwa yang besar mereka mampu untuk melakukan kejutan. Namun para pemain juga perlu berwaspada dengan pasukan seperti Thailand yang pastinya akan memberikan tentangan kepada kami,” katanya.

Sebagai rekod, siri latihan bersama pasukan wanita kebangsaan Wales pada 28 Julai hingga 11 Ogos lalu antara persiapan yang dilakukan Malaysian Tigress menuju ke ACT 2024 kali ini.

JADUAL

TROFI JUARA-JUARA ASIA (ACT) WANITA BIHAR 2024

ISNIN (11 NOVEMBER)

Malaysia lwn India, jam 10 malam

SELASA (12 NOVEMBER)

Malaysia lwn China, jam 7.45 malam

KHAMIS (14 NOVEMBER)

Malaysia lwn Korea Selatan, jam 5.30 petang

SABTU (16 NOVEMBER)

Malaysia lwn Jepun, jam 5.30 petang

AHAD (17 NOVEMBER)

Malaysia lwn Thailand, jam 5.30 petang

* Empat pasukan terbaik akan layak ke saingan separuh akhir.

* Kejohanan berlangsung di Stadium Hoki Rajgir, Bihar, India

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!