Mekanisme subsidi RON95 masih jadi tanda tanya

Kaedah dan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, masih sedang diperhalusi oleh MOF. Gambar hiasan
Kaedah dan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, masih sedang diperhalusi oleh MOF. Gambar hiasan
A
A
A

TINDAKAN kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 telah menimbulkan polemik dan kegusaran orang ramai.

Perkara ini menyebabkan kegelisahan kerana rakyat beranggapan ia akan menambah beban kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup tinggi pada masa kini.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan 85 peratus rakyat terdiri daripada golongan B40, M40 dan penjawat awam tidak akan terjejas dengan penyasaran subsidi itu yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025.

Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi petrol itu sebagai usaha supaya bahan api itu hanya digunakan rakyat dan bukan golongan mahakaya serta warga asing di negara ini.

Namun, pelaksanaan tersebut masih menjadi tanda tanya kepada masyarakat umum berikutan masih tiada penetapan mekanisme dalam menentukan golongan yang layak menerima.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme Mykad atau e-dompet mungkin akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak.

Menurut beliau, kaedah itu masih dalam pertimbangan sebelum sebarang ketetapan diambil.

Selain itu, Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To turut memberikan cadangan kepada kerajaan supaya mengenakan levi petrol terhadap golongan T15 ketika mereka memperbaharui cukai jalan.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga memberi saranan bahawa kaedah rebat tunai lebih mudah dan kurang risiko ketirisan berbanding penggunaan sistem pengesahan MyKad.

Apa pun, sebarang langkah yang akan diambil selepas ini diharapkan akan mengambil kira semua aspek agar pengagihan lebih adil tanpa menindas mana-mana pihak.

Meskipun menarik balik subsidi RON95 ini dilihat positif kepada perbelanjaan kerajaan, namun kepentingan dan keluhan masyarakat adalah perkara yang perlu dititikberatkan ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!