Proton Saga 'gagah beraksi' biarpun berusia 39 tahun
JERANTUT - Biarpun sudah berusia 39 tahun, Proton Saga 1.5S milik seorang warga emas di Perumahan Banjir Kampung Ulu Teh di sini masih mampu beraksi dan digunakan hingga kini.
Azlan Mat, 63, memberitahu, walaupun warna kereta itu semakin luntur namun sudah banyak menabur jasa untuk diri dan keluarga sejak membelinya dengan harga kira-kira RM18,000 pada 1985.
Menurutnya, menggunakan duit jualan hasil kebun, dia nekad membeli model tersebut untuk kegunaan isterinya, Faridah Kuchik, 60, yang sedang mengandung ketika itu selain memudahkan urusan untuk bersalin.
"Malah ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan model ini pada 9 Julai 1985, saya pun sudah teruja lagipun ia kereta nasional pertama negara.
"Hingga kini, saya sangat sayang dan setia dengan kereta ini yang juga jarang meragam dan boleh digunakan untuk membantu isteri berulang-alik ke bandar Jerantut untuk berbelanja termasuk jualan hasil kampung bagi sumber pendapatan keluarga," katanya.
Jelasnya, keistimewaan Proton Saga model itu ialah memiliki ketahanan enjin, penggunaan bahan api lebih jimat dan selesa untuk pemanduan jarak perjalanan yang jauh.
Ujar Azlan, cuma sekali sahaja pernah dihantar ke bengkel untuk membaiki enjinnya yang semput di samping kelaziman seperti kenderaan lain, iaitu menukar tayar baharu, minyak enjin dan alat ganti yang lain.
Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, dia sering memandu kenderaan itu ke rumah keluarga di Kelantan selain ke negeri-negeri lain atas pelbagai urusan.
Ujarnya, buat masa ini dia tidak terfikir mendapatkan kenderaan lain dan amat menghargai model tersebut biarpun sudah berkemampuan untuk membeli kereta baharu.
"Malah saya tidak terfikir untuk jual walaupun ada yang berminat membelinya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!