Tun M kecam "kemunafikan" Eropah berhubung konflik di Gaza

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
A
A
A

ANKARA - Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mengecam Eropah atas "kemunafikan” mereka berhubung pencerobohan Israel di Gaza, menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak masuk akal,” lapor Agensi Anadolu.

"Saya dahulu menganggap orang Eropah sebagai perintis hak asasi manusia. Kini saya tahu mereka hipokrit. Saya sudah hilang rasa hormat terhadap mereka,” kata Dr Mahathir di platform X, merujuk kepada kemusnahan yang diakibatkan oleh pengeboman Israel yang berterusan.

"Secara asasnya, mereka menyokong serangan genosid Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Merujuk kepada pengeboman Israel di Gaza dan pembunuhan hampir 43,400 rakyat Palestin sejak 7 Okt (2023), beliau berkata bandar dan pekan di Gaza telah musnah sepenuhnya.

"Malah kem pelarian yang hanya dipenuhi khemah rapuh turut diserang dengan roket dan bom. Pelarian terbunuh. Mereka yang terselamat melarikan diri. Tetapi tiada tempat selamat untuk mereka,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti yang sedang berlaku di dunia yang "kononnya bertamadun”.

"Ia sungguh mengejutkan. Tidak menunjukkan sebarang tanda perasaan kemanusiaan.”

"Apa yang tidak masuk akal ialah saluran TV (televisyen) Barat menunjukkan ‘hampir tiada liputan tentang genosid’ rakyat Palestin,” katanya lagi, sambil menambah: "Seolah-olah perkara itu tidak berlaku.”

Artikel Berkaitan:

Beliau memuji saluran berita Al Jazeera yang berpusat di Doha atas liputan meluas mengenai genosid di Gaza. Bekas pemimpin Malaysia berusia 99 tahun itu berkata: "Memandangkan saluran TV Al Jazeera tidak ditonton oleh orang Kaukasia di Eropah dan Amerika, mereka percaya bahawa tiada apa-apa yang berlaku kepada penduduk Gaza.”

"Mereka sebenarnya percaya bahawa serangan Israel bertujuan untuk mencapai keselamatan bagi negara Israel. Dan mereka menyokong serangan Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Tentera Israel mengepung kawasan utara Gaza bulan lepas, mendakwa ia bertujuan menghentikan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, daripada berkumpul semula. Bagaimanapun, rakyat Palestin menuduh Israel berhasrat untuk menduduki kawasan itu dan mengusir penduduknya secara paksa.

Lebih 1,800 orang telah terbunuh sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. Bekalan makanan dan bantuan lain amat terhad.

Israel berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah terkepung itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!