Tinjauan CNN: Penarahan kelulusan Biden merosot ketika pengundi luahkan ketidakpuasan
WASHINGTON - Penarafan kelulusan Presiden AS, Joe Biden yang bakal berundur menunjukkan penurunan di seluruh negara, menurut tinjauan awal CNN bagi pilihan raya presiden kali ini.
Menurut laporan Anadolu yang memetik rangkaian itu, kira-kira empat daripada 10 pengundi menyokong prestasi Biden, sementara majoriti menunjukkan rasa tidak puas hati.
Hampir tiga perempat daripada mereka mempunyai pandangan negatif terhadap keadaan semasa di AS.
"Hanya sekitar satu perempat yang menyatakan diri mereka bersemangat atau berpuas hati dengan keadaan negara, dengan lebih empat daripada 10 berasa tidak puas hati dan kira-kira tiga daripada 10 menyatakan mereka marah,” menurut hasil tinjauan itu.
Walaupun dengan sentimen sedemikian, pengundi umumnya tetap optimistik, dengan lebih enam daripada 10 berpendapat bahawa hari-hari terbaik Amerika akan tiba, manakala hanya kira-kira satu pertiga yang merasakan masa kegemilangan itu sudah berlalu.
Isu demokrasi dan ekonomi juga merupakan dua perkara utama yang berada di fikiran pengundi, menurut keputusan awal.
Jutaan rakyat Amerika menuju ke pusat pengundian pada Selasa bagi memilih presiden ke-47 negara itu, dengan bekas Presiden Donald Trump berdepan saingan daripada Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris.
Anadolu melaporkan bahawa Biden akan menghabiskan Malam Pilihan Raya di Rumah Putih bersama Wanita Pertama, Jill Biden, sambil menerima kemas kini mengenai keputusan pilihan raya.
"Presiden akan menerima kemas kini berkala mengenai keputusan pilihan raya di seluruh negara,” kata seorang pegawai Rumah Putih kepada media AS.
Anadolu turut melaporkan bahawa Kamala merancang untuk mengadakan majlis menonton Malam Pilihan Raya di Universiti Howard di Washington, bagi warga kulit hitam dan alma mater beliau, menjadikan ini satu peristiwa bersejarah bagi kampus itu.
Sementara itu, bekas Presiden Donald Trump akan memantau keputusan di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida dan beliau dijadualkan mengadakan beberapa perhimpunan, termasuk satu majlis tertutup di kediamannya dan acara lebih besar di Pusat Konvensyen Palm Beach.
Menurut laporan The New York Times yang memetik tiga individu yang arif tentang jadual Trump, Elon Musk dijangka hadir bersama Trump di Mar-a-Lago. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!