KPKT kaji semula hukuman kes sampah haram, pembakaran terbuka
ALOR SETAR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mengkaji semula hukuman dan penalti terhadap pihak yang dikesan melonggokkan sampah di tapak pelupusan sampah haram termasuk individu yang terlibat dalam pembakaran sampah secara terbuka.
Timbalan Menterinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, isu berkenaan dipandang serius kerana melibatkan kos yang tinggi untuk kerja-kerja pemadaman dan pembersihan tapak.
Menurutnya, ramai pihak yang tidak endah menyebabkan pihaknya akan meneliti semula hukuman sedia ada sebagai pengajaran bagi mengelak kes berulang.
“Ada pihak pandang remeh kerana mereka mampu bayar dan mengulangi kesalahan itu. Kita perlu kaji semula hukuman agar pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan.
"Kes ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia antara punca pencemaran alam sekitar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program jalinan kerjasama ‘let’s do it right’ peringkat negeri Kedah anjuran SWCorp Negeri Kedah dengan kerjasama Environment Idaman Sdn Bhd di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew.
Raja Kamarul Bahrin berkata, pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan pihaknya akan memberi keutamaan untuk menangani isu terbabit.
“Kos tangani kebakaran di tapak pelupusan sampah tinggi bukan semua kebakaran dapat dipadamkan dalam tempoh singkat. Sebab itu pencegahan dan kawalan adalah lebih penting termasuk kesedaran kalangan awam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kok Yew berkata, dua tapak pelupusan sampah haram di negeri itu telah diambil tindakan.
“Tapak asal adalah lombong pasir, tuan tanah menyalahgunakan dengan menerima longgokan sisa pepejal, kita pantau agar kes seumpama tidak berulang,” katanya.
Mengulas mengenai beberapa tapak pelupusan sampah yang terbakar dan mengambil masa untuk dipadamkan, melibatkan tapak pelupusan sampah di Semeling dan Jitra, katanya, kos pemadaman mencecah melebihi RM200,000 bergantung kepada jenis dan keluasan kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!