Potensi besar kerjasama Malaysia, Turkiye
HUBUNGAN antara Malaysia dan Turkiye sudah terjalin sejak 60 tahun lalu dan di bawah Kerajaan Madani, ia semakin subur dan menguntungkan kedua-dua pihak terutama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Ikuti wawancara bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang mengadakan lawatan ke negara itu baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Baru-baru ini YB telah mengadakan lawatan ke Turkiye dan melihat potensi besar dalam teknologi hijau dan alternatif. Boleh YB jelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut?
LIH KANG: Selaras dengan komitmen Malaysia ke arah penggunaan tenaga lebih lestari dan mesra alam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui The Malaysian Industry Group High Technology (MIGHT) akan bekerjasama dengan TENMAK dalam bidang bahan mineral termaju dan tenaga boleh baharu.
Secara tuntasnya, TENMAK dilihat sebagai salah satu institusi Turkiye yang wajar dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia bagi jalinan kerjasama terutama sekali melibatkan bidang penyelidikan, pertukaran teknologi dan pembangunan sumber manusia dalam bidang yang berkaitan.
TENMAK ini merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Turkiye yang memainkan peranan penting dalam memajukan sektor tenaga Turkiye dengan memberi fokus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang tenaga bersih dan diperbaharui termasuk hidrogen dan nuklear serta pembangunan mineral.
Selain itu, NanoMalaysia Berhad juga sedang meneliti kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau dengan TUBITAK BILGEM dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang tahun 2050 di bawah Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR).
SINAR HARIAN: Sejauh mana peluang-peluang yang diteroka dengan Turkiye dapat membantu meningkat ekonomi negara dan memberi manfaat besar kepada rakyat di negara ini?
Selain daripada usaha Malaysia mengarusperdanakan agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) negara di peringkat antarabangsa, sebarang penganjuran program atau aktiviti kerjasama STI antara dua negara pastinya akan menggalakkan pelaburan seterusnya merancakkan perkembangan ekonomi negara dan memperluas tenaga kerja.
Ia juga dapat membantu meningkatkan kerjasama dan kemampuan Malaysia dalam memanfaatkan pelaburan untuk menghasilkan output inovasi seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam laporan Global Innovation Index (GII) yang akan diterbitkan oleh The World Intellectual Property Organization (WIPO) pada masa hadapan.
SINAR HARIAN: Selain bidang teknologi hijau, apakah bidang-bidang lain yang menarik perhatian YB sepanjang berada di Turkiye?
Saya melihat terdapat keperluan untuk kita membina jaringan baharu terutama sekali dalam bidang teknologi angkasa, hidrogen, ekosistem syarikat pemula, kecerdasan buatan dan bioteknologi menerusi keterjaminan makanan dan precision medicine yang menjadi fokus MOSTI bagi tahun 2024.
Kepakaran serta fasiliti yang dimiliki oleh Turkiye ini terutama dalam bidang-bidang fokus MOSTI wajar dimanfaatkan oleh Malaysia dalam pembangunan ekosistem STI negara.
SINAR HARIAN: Dengan hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, bagaimana YB melihat kerjasama antara kedua negara ini dapat merealisasikan kerjasama dalam bidang teknologi?
Hubungan diplomatik antara Malaysia-Turkiye telah lama terjalin sejak 1964. Sejak itu, pelbagai kerjasama dua hala telah banyak dilaksanakan dalam pelbagai bidang termasuk bidang sains, teknologi dan inovasi.
Selain memperkukuh hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, sudah tentu hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan akan merancakkan lagi penganjuran program dan aktiviti khususnya dalam bidang STI selaras dengan dasar dan polisi semasa.
SINAR HARIAN: Setakat ini apakah bentuk kerjasama yang sudah dirintis antara MOSTI dengan negara Turkiye?
Pertama ialah menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MOSTI bersama Kementerian Industri dan Teknologi Turkiye pada 18 Disember 2019 yang telah membuka peluang kerjasama pertukaran kepakaran serta penganjuran seminar saintifik dalam bidang sains dan teknologi antara Malaysia dan Turkiye
Kedua ialah pemeteraian MoU ini telah memperlihatkan kejayaan kolaborasi antara MIGHT dan The Scientific and Technological Research Council of Turkey (TUBITAK).
Di bawah kerjasama MIGHT-TUBITAK ini, tiga program kolaborasi utama telah dilaksanakan iaitu TUBITAK-MIGHT Collaboration, TECHNOMART Malaysia-Turkiye dan Talent Development Program in Aerospace.
Kita juga ada kerjasama baharu melalui pemeteraian MoU dan surat niat menerusi kolaborasi strategik dalam bidang elektrik, elektronik dan semikonduktor MIMOS Berhad dan TUBITAK BILGEM, kerjasama dalam bidang bahan mineral termaju dan tenaga boleh baharu antara MIGHT dan TENMAK dan kerjasama bioteknologi antara NIBM dan TUBITAK MARMARA dalam bioteknologi kesihatan dan keterjaminan makanan.
SINAR HARIAN: Bagaimana YB melihat masa depan antara Malaysia dan Turkiye?
Prestasi Turkiye dalam GII adalah selari dengan tahap pembangunan negara berkenaan di mana Turkiye mencapai kedudukan antara 50 negara teratas berinovasi tinggi.
Turkiye merupakan antara negara yang telah memanfaatkan pelaburan, seterusnya menghasilkan output inovasi.
Peluang kerjasama dalam berkongsi pengalaman, kepakaran serta fasiliti perlu dimanfaatkan bersama dalam usaha merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030 sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dan seterusnya mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).
Ia juga merupakan peluang kepada Malaysia dalam meningkatkan keupayaan inovasi melalui pelbagai kerjasama strategik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kerjasama R&D terutamanya di dalam bidang STI serta meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam GII dan seterusnya menarik minat pelabur asing datang ke Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!