Baru sekali lawat Old Trafford dah jadi presiden kelab peminat MU
TIDAK dinafikan Liga Perdana Inggeris atau EPL mempunyai pengikut yang ramai di negara ini.
Kelab-kelab seperti Manchester City, Liverpool, Arsenal dan Chelsea adalah antara pasukan yang memiliki bilangan pengikut yang tinggi.
Malah, Manchester United (MU) yang dahulunya gah juga masih mempunyai peminat paling ramai di sebalik prestasi suram sejak beberapa musim lalu.
Kelompok peminat EPL pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kiralah lelaki atau wanita termasuk rakan Merak Jalanan, Eddy (nama samaran) biarpun pada hakikatnya dia kaki bangku.
Eddy bukanlah peminat tegar bola sepak kerana dia pernah beritahu Merak Jalanan bahawa Borussia Dortmund adalah sebuah kelab hebat dari Belgium, padahal itu kelab di Bundesliga, Jerman.
Minat Eddy terhadap sukan bola sepak berputik selepas dia menjejakkan kaki buat kali pertama di Old Trafford. Sejak itu dia menjadi penyokong tegar The Red Devils.
Sekembalinya ke Malaysia, Eddy tidak pernah bosan menceritakan kisahnya di Old Trafford sambil memakai snow cap dan mengenakan jaket walaupun suhu penyaman udara di dalam pejabat tidaklah sesejuk di England!
Cuma yang kurang seronoknya apabila Eddy melantik dirinya sebagai presiden kelab peminat MU di pejabat.
Sekarang, keghairahannya bercerita mengenai MU tidak lagi serancak dahulu disebabkan MU kini menjadi bahan jenaka di media sosial.
Jelas Eddy, dia tidak menyesal jadi penyokong MU tapi geram apabila diperli setiap kali MU kalah.
Merak Jalanan cuma nasihatkan Eddy supaya bersabar dan memberitahunya lepaskan sahaja jawatan presiden kelab peminat MU supaya usikan nakal itu tidak lagi mengganggunya.
Merak Jalanan faham apa yang dirasai Eddy kerana Merak Jalanan juga pernah 'koyak' diperli kerana menyokong Perak Jenderata FC!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!