Kereta terbabas elak lori lawan arus
PASIR GUDANG - Tindakan sebuah lori melawan arus menyebabkan sebuah kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di kilometer (km) 14, Lebuhraya Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi, pada Isnin.
"Honda Civic dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun yang berada di lorong kanan itu dikejutkan dengan sebuah lori yang dipandu secara melawan arus.
"Kereta tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian dahi, tangan kanan dan luka di bahagian kaki dan telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Zeyrul Mohd Redzwan di talian 019-5324272," katanya.
Sebelum itu, tular rakaman papan pemuka berdurasi 7 saat itu, kelihatan sebuah lori berwarna putih melawan arus menyebabkan kereta berkenaan cuba mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!