Amorim: Kemenangan ke atas City tak jamin kejayaan bersama United

Amorim diraikan pemain dan pegawai Sporting Lisbon dalam perlawanan terakhirnya di Stadium Jose Alvalade. Foto: AFP
Amorim diraikan pemain dan pegawai Sporting Lisbon dalam perlawanan terakhirnya di Stadium Jose Alvalade. Foto: AFP
A
A
A

RUBEN Amorim menegaskan bahawa kemenangan 4-1 Sporting Lisbon ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu tidak menjamin dia mampu memberikan impak segera di Manchester United.

Pengurus Sporting itu telah menerima tawaran United untuk menggantikan Erik ten Hag dan akan secara rasmi mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sedang menghadapi masalah itu pada 11 November ini.

Diiktiraf sebagai salah satu pengurus muda paling cemerlang di Eropah, Amorim, 39, menunjukkan sekelumit sahaja kehebatannya apabila Sporting berjaya mendedahkan kelemahan pertahanan City yang dilanda kecederaan.

Phil Foden menjaringkan gol pembukaan untuk City di Stadium Jose Alvalade, tetapi pasukan pelawat gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menambah jaringan dan Sporting mengambil kesempatan daripada kegagalan itu.

Viktor Gyokeres menyamakan kedudukan sebelum separuh masa, dan Maximiliano Araujo menjaringkan gol kedua Sporting selepas rehat, sebelum Gyokeres melengkapkan kemenangan dramatik mereka dengan dua penalti.

Amorim yang telah membawa Sporting memenangi dua gelaran Liga Portugal dalam tempoh empat tahun, akan mengetuai perlawanan pertama United menentang Ipswich pada 24 November.

Namun, Amorim cukup bijak untuk tidak mengakui bahawa kemenangan ke atas City membuktikan dia mampu menyemarakkan semula United selepas permulaan musim terburuk kelab itu sejak 1986/87.

"Apa yang boleh saya katakan ialah ini tidak bermakna apa-apa secara khusus, jangan buat sebarang kesimpulan.

Artikel Berkaitan:

"Ia boleh mengelirukan, kami sangat bernasib baik hari ini. Kita tidak boleh membawa satu realiti ke realiti yang lain. Manchester United tidak boleh bermain seperti yang kami mainkan, dan kami perlu menyesuaikan diri," kata Amaroim.

Amorim diraikan oleh peminat Sporting sepanjang perlawanan terakhirnya di tempat sendiri, sebelum para pemainnya yang gembira melambungkannya ke udara untuk memberikan penghormatan selepas wisel penamat.

"Perasaan dengan pemain saya, detik bersama peminat sangat istimewa. Jadi saya akan bawa semangat ini ke Liga Perdana.

"Apabila saya tiba di sana, ia adalah dunia yang berbeza, tekanan yang berbeza. Saya akan cuba menjadi diri saya yang sama. Ia akan menyeronokkan, sangat menyeronokkan, dan saya sudah bersedia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!