Bah besar 10 tahun sekali hantui penduduk
TAHUN ini genap 10 tahun bencana banjir buruk melanda daerah Kemaman di Terengganu. Rata-rata penduduk menyifatkan banjir ketika itu adalah antara yang terburuk pernah berlaku di daerah berkenaan.
Menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang diramalkan berlaku pada November ini, timbul persoalan mungkinkah fenomena banjir besar itu kembali berulang.
Berdasarkan kajian, setakat ini tiada bukti kukuh menyokong bahawa bencana banjir besar berlaku setiap 10 tahun sekali.
Walaupun begitu, berpandukan kepada pengalaman sebelum ini, bencana banjir yang membawa kemusnahan dan kerugian besar sering melanda negara selang 10 tahun sekali misalnya seperti yang pernah berlaku pada 1984, 1994, 2004, dan 2014.
Fenomena itu biasanya berlaku antara November hingga Mac tahun berikutnya.
Berdasarkan pemerhatian penulis, kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan berisiko banjir kini di negeri ini telah bersiap sedia lebih awal untuk berdepan dengan risiko banjir yang dialami hampir saban tahun.
Walaupun apa yang diramalkan ada kalanya tidak sama dengan apa yang berlaku, paling penting bagi mereka adalah bersedia bagi memastikan keselamatan setiap ahli keluarga terjamin sekali gus mengelak berlakunya kejadian tidak diingini yang menyebabkan kehilangan nyawa.
Berbalik kepada bencana banjir yang berlaku pada 2014, pengurusan yang cekap oleh pihak berkuasa ketika itu memastikan pengurusan bencana banjir yang efisien dan efektif dapat diambil.
Malah, pengurusan banjir yang diamalkan di negeri Terengganu pada tahun berkenaan membolehkan ia dijadikan sebagai model dan panduan di negeri-negeri lain yang sering dilanda bencana banjir.
Malah, dokumentari pengurusan banjir daerah Kemaman yang disediakan kerajaan Terengganu ketika itu mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada tahun ini, lebih RM4.2 juta diperuntukkan di Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir merangkumi peruntukan RM2.2 juta daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta daripada kerajaan negeri.
Peruntukan tersebut meliputi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 depoh mini dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri.
Dalam berbicara soal persediaan untuk menghadapi banjir, tidak dilupakan juga persediaan pemimpin masyarakat setempat sehingga kepada kepimpinan utama negeri untuk menyantuni mangsa banjir di kawasan masing-masing.
Kita sedia maklum bahawa kehilangan harta benda merupakan tamparan hebat buat mangsa banjir, oleh itu keberadaan pemimpin pada saat rakyat dilanda kesusahan amat penting untuk memberikan sedikit kelegaan dan mengubati duka mereka.
Bukan hanya perlu berdepan dengan kehilangan, mereka juga harus bersedia dari segi kekuatan fizikal untuk membersihkan sisa-sisa lumpur banjir yang dibawa arus.
Baru-baru ini, insiden penduduk melempar lumpur dan objek kosong ke arah Monarki Sepanyol, Raja Felipe dan isteri, Permaisuri Letizia ketika mereka melawat kawasan terjejas banjir di wilayah Valencia di bandar Paiporta negara itu wajar dijadikan pengajaran.
Ia berlaku disebabkan penduduk tempatan dikatakan tidak dapat mengawal rasa marah kerana kelewatan bantuan disalurkan kepada mangsa banjir menyebabkan lebih 200 orang rakyat negara itu terkorban dalam bencana tersebut.
Walaupun Terengganu sudah diyakini dengan kecekapan pengurusan banjir, ia bukan jaminan tiada isu bantuan yang terlepas pandang.
Sebelum ini, ketiadaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika musibah banjir melanda negeri itu menjadi 'modal' dan bahan bualan setiap kali musim tengkujuh menjelma saban tahun.
Apa pun, kita yakin bahawa kepimpinan kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mangsa banjir walaupun pemimpin nombor satu itu tiada di dalam negeri ketika musibah melanda.
Akan tetapi, walaupun bantuan disalurkan, sumbangan dihulurkan, namun keberadaan Menteri Besar tatkala musibah melanda adalah 'pengubat' buat mereka yang ditimpa kesusahan.
* Norhaspida Yatim ialah Wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!