[VIDEO] Hakim harap keputusan representasi Sanusi diketahui 10 Disember
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, status representasi kedua Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi membatalkan dua kes menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, belum diketahui.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, prosiding lalu menetapkan Rabu untuk sebutan kes bagi keputusan permohonan berkenaan.
“Dukacitanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi yang dikemukakan tertuduh, pendek kata kami tidak dapat memberi keputusannya hari ini.
“Saya mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu, serentak dengan penetapan tarikh perbicaraan kes,” katanya yang mencadangkan ia dibuat pada 10 Disember depan.
Selain Masri, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.
Sementara itu, peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Muhammad Sanusi, 50, berkata, pihaknya mempunyai perkembangan terkini berhubung representasi bagi dua kes berkenaan.
“Mengenangkan ada perkembangan baharu, jadi pihak pembelaan bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya.
Mendengar perkara berkenaan, Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes bagi keputusan representasi terbabit.
“Saya harap ini merupakan tarikh akhir ditetapkan, dan keputusannya akan diperoleh,” katanya yang turut dihadiri peguam, Mohd Tajuddin Abd Razak.
Peguam pemerhati, Datuk Seri Salehuddin Saidin turut mengikuti prosiding bagi pihak Sultan Selangor.
Sementara itu, semasa sidang akhbar, Hasshahari berkata, terdapat perkembangan terkini yang akan dimaklumkan kemudian, maka tiada penetapan tarikh perbicaraan bagi kes ini.
“Jadi, sebab itulah Yang Arif berharap, bulan depan merupakan tarikh akhir bagi status permohonan terbabit.
“Kalau tiada sebarang perkembangan terkini, maka mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan atau arahan selanjutnya dibuat,” katanya.
Untuk rekod, Muhammad Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas representasi pertama dikemukakan ahli politik Pas itu ditolak oleh AGC pada Mei lalu.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.
Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari lalu, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 26 September lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!