Belanjawan Selangor 2025: Peruntukan Orang Asli Selangor dijangka meningkat

V Papparaidu
V Papparaidu
A
A
A

SHAH ALAM - Kebajikan Orang Asli di Selangor sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak tercicir dari arus pembangunan.

Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti, V Papparaidu berkata, peruntukan kepada golongan minoriti itu juga dijangka meningkat dalam Belanjawan Selangor 2025.

"Saya sebagai Exco Hal Ehwal Orang Asal juga membangkitkan beberapa perkara ketika pertemuan exco bersama Menteri Besar, (Datuk Seri Amirudin Shari) baru baru ini.

"Kita memberi fokus kepada pembangunan Orang Asli dan minoriti serta kepada pendidikan kaum India serta pembangunan sosial mereka khususnya bidang-bidang terletak di bawah portfolio saya.

"Saya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan lebih baik dan saya yakin akan ada berita baik untuk golongan Orang Asli serta kaum India," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Menteri Besar memaklumkan Belanjawan Selangor 2025 yang sepatutnya dibentangkan pada 8 November diubah kepada pertengahan November ini.

Beliau berkata, tarikh pembentangan belanjawan tahunan ini dianjak berikutan kebanyakan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir pada tarikh itu.

Pada Ogos lalu, V Papparaidu memaklumkan Selangor memperuntuk RM500,000 bagi menjayakan pelbagai program pembangunan Orang Asli sepanjang tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sejumlah RM246,832 daripadanya sudah disalurkan setakat Julai tahun ini untuk program pendidikan, projek naik taraf kediaman dan baik pulih prasarana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!