SPRM sambung rakaman percakapan Vivy, suami pada Rabu

Pengamal media menanti kehadiran Vivy dan Fadzaruddin Shah di hadapan perkarangan pintu masuk ibu pejabat SPRM pada Rabu. Foto Sinar Harian/HISYAMUDDIN AYUB.
Pengamal media menanti kehadiran Vivy dan Fadzaruddin Shah di hadapan perkarangan pintu masuk ibu pejabat SPRM pada Rabu. Foto Sinar Harian/HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses mengambil keterangan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bersambung pada Rabu.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dijangka akan diambil keterangan bermula jam 10 pagi ini.

"Semalam mereka selesai dirakam percakapan jam 10.30 malam dan ia akan disambung lagi pada pagi ini bagi membantu siasatan.

"Proses rakaman percakapan itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya pada Rabu.

Sumber berkata, proses rakaman percakapan pasangan itu yang berlangsung pada Selasa dianggarkan selama lapan jam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pasangan itu akan disambung rakaman percakapan mereka pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian di pekarangan pintu masuk ibu pejabat SPRM sehingga jam 10.50 pagi mendapati pasangan itu masih belum tiba.

Pasangan suami isteri itu antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah serta PNB.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, orang ramai membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Vivy dan Fadzaruddin Shah turut memberi maklum balas mengenai isu itu dengan mengambil tindakan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka pada malam Selasa, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah kedua-duanya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!