Elak GLC jadi alat pemimpin politik kaut untung - Gerakan

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu merangka semakan dalaman lebih ketat untuk mengelakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus menjadi alat pemimpin politik dan menjadi platform untuk mengaut keuntungan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana dana yang digunakan oleh GLC adalah hasil titik peluh pembayar cukai.

Ujarnya, sekiranya pihak pengurusan membuat keputusan salah tanpa dikenakan hukuman setimpal, ia tidak akan menjadi pengajaran untuk menghindari risiko penyalahgunaan kuasa yang membawa kepada amalan rasuah.

"Terlalu banyak kelemahan dalam keputusan pelaburan dan pengurusan GLC. Ironinya, pemimpin Pakatan Harapan lantang mengkritik pelantikan ahli politik yang tidak berkelayakan dalam jawatan tinggi semasa menjadi pembangkang.

"Namun, setelah berkuasa, mereka meneruskan amalan kontroversi tersebut. Kerajaan perlu mewujudkan proses pelaburan lebih telus supaya rakyat dapat memahami cara dana digunakan dan memantau prestasi GLC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kegagalan pelaburan GLC sering kali berlaku kerana ketiadaan audit yang ketat.

"Walaupun pelaburan itu gagal menyebabkan kerugian besar, pengurusan atasan masih bebas daripada tanggungjawab," ujarnya.

Beliau mengambil contoh, kegagalan pelaburan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam syarikat fesyen e-dagang FashionValet yang menyebabkan kerugian RM43.9 juta sekali lagi membuktikan kesilapan keputusan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan perlu menyiasat sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa atau hubungan politik dan perniagaan dalam hal ini," ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Dominic Lau turut menegaskan penubuhan GLC oleh kerajaan adalah untuk membangunkan ekonomi, menambah hasil kerajaan, dan membawa manfaat ekonomi kepada negara.

"Syarikat yang gagal mengembangkan perniagaan dan mencatatkan keuntungan, jika terus mengalami penyusutan, akan menjadi beban kepada negara.

"Akhirnya, kerajaan perlu menggunakan dana untuk menyelamatkannya, menjual dan akhirnya kerugian itu berbalik kepada rakyat," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menilai dengan teliti sama ada syarikat mengalami kerugian, yang menanggung kerugian jangka panjang atau tidak mempunyai potensi perkembangan, masih wajar diteruskan.

"Jika tidak dapat mencari pembeli yang sesuai atau dijual, kerajaan harus menutup syarikat-syarikat yang tidak dapat bertahan di pasaran," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!