Timbalan pengerusi masjid pula ditahan kemuka nama isteri sebagai penerima zakat
KEMAMAN - Timbalan pengerusi masjid direman enam hari selepas disyaki mengemukakan senarai nama asnaf miskin yang tidak layak termasuk isterinya bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Suspek berusia lingkungan 50-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu bagi mendapatkan perintah reman.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan permohonan reman selama enam hari ke atas suspek bermula 6 hingga 11 November ini.
Sumber berkata, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman sekitar jam 12.30 tengah hari pada Selasa.
Menurutnya, suspek disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah badan kebajikan syarikat swasta di Kertih, di sini bagi melayakkan penerima yang merupakan isteri suspek memperoleh zakat wakalah sumbangan daripada syarikat tersebut.
Suspek akan ditahan di lokap Balai Polis Chukai di sini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, tangkapan susulan ke atas lelaki itu dilakukan selepas SPRM menahan pengerusi masjid di sebuah masjid yang sama dan isterinya pada Isnin lalu.
Bagaimanapun isteri kepada pengerusi masjid tersebut dilepaskan pada Selasa dengan jaminan SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!