Kerajaan perkenal 2 dana baharu bantu PKS, MTC dan tarik FDI berkualiti tinggi

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
A
A
A

KERAJAAN melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memperkenalkan dua dana baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu Dana Pemacu Pelaburan Domestik (DIAF) dan Dana Pemacu Pelaburan Asing (FIAF).

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, DIAF dan FIAF merupakan kesinambungan kepada Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) dan Dana Berimpak Tinggi (HIF), selari dengan dasar semasa kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

"DISF dan HIF merupakan dana yang diperuntukkan di bawah RMK10 dan RMK11 telah digunakan sepenuhnya untuk kelulusan melibatkan sebanyak 526 projek,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai rancangan kerajaan untuk mengembalikan DISF dan HIF yang membantu syarikat tempatan meningkatkan teknologi dan mencapai tahap antarabangsa.

Katanya, DIAF antara lain bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan tempatan (MTC) dalam mendapatkan pensijilan atau verifikasi dalam mengadaptasi elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus melalui geran padanan dengan nisbah 50:50 atau 70:30 bagi perbelanjaan yang layak bergantung kepada penilaian projek.

"DIAF juga akan ditawarkan melalui skop subsidi kadar faedah tiga peratus bagi tujuan pinjaman sewa beli untuk tempoh 12 bulan ke atas perbelanjaan modal yang layak bagi projek automasi dan digitalisasi,” katanya.

Liew berkata FIAF pula diperkenalkan dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti tinggi selaras dengan sasaran yang ditetapkan di bawah NIMP 2030.

"Dana ini juga dalam bentuk geran padanan kepada syarikat yang layak dengan nisbah 50:50 bagi perbelanjaan yang layak.

Artikel Berkaitan:

"FIAF ini merangkumi dua jenis aktiviti iaitu penyelidikan dan pembangunan dan inovasi yang dijalankan di Malaysia serta latihan teknikal bagi pekerja tempatan sepenuh masa,” katanya.

Katanya MITI dan MIDA akan terus mengkaji keberkesanan insentif sedia ada selaras dengan dasar semasa kerajaan dan keperluan pemain industri sekali gus memastikan penawaran insentif dapat meningkatkan daya saing syarikat tempatan.

"Selain itu, pemberian insentif yang berimpak tinggi ini akan dapat menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti yang akan memberi kesan limpahan positif, termasuk meningkatkan aplikasi teknologi dalam kalangan syarikat tempatan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!