Muhammad Eusoff perlukan RM100,000 untuk pembedahan jantung
BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi berusia 12 bulan, Muhammad Eusoff Al Amin yang menghidap kecacatan jantung kompleks memerlukan dana segera sebanyak RM100,000 bagi menjalani pembedahan.
Keadaan yang dihadapi bayi comel dan lincah itu ibarat bom jangka apabila ia boleh meragut nyawanya bila-bila masa jika tidak dirawat segera.
Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Muhammad Eusoff dari Simpang Ampat di sini, dikesan menghidap penyakit berkenaan sejurus dia dilahirkan.
Menurutnya, semasa dalam tempoh janin, doktor telah mengesan degupan jantungnya yang tidak normal selain kekurangan oksigen.
"Selepas lahir menerusi kaedah pembedahan, dia mengalami hipoksemia (darah kekurangan oksigen) dan sianosis (jari dan bibir kebiruan) sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
"Muhammad Eusoff kemudian dikesan mengalami kecacatan jantung jarang berlaku, Tetralogy of Fallot (TOF) dengan pulmonary atresia (PA).
"Semasa usia sebulan, dia telah menjalani pembedahan pemasangan stent di jantungnya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Sui Hau berkata, keadaan bayi itu kini semakin buruk apabila pemeriksaan doktor baru-baru ini mendapati masalah stenosis kardiovaskular atau saluran darah sempit telah bertambah teruk.
"Anak lelaki tunggal itu segera menjalani pembedahan untuk melebarkan saluran darah, namun ia hanya penyelesaian sementara.
"Dia perlu menjalani pembedahan membaiki lubang di jantung, injap jantung dan sistem kardiovaskularnya secepat mungkin kerana keadaan itu boleh meragut nyawanya," ujarnya
Sui Hau berkata, ibu bapa Muhammad Eusoff telah tampil ke pejabat One Hope Charity & Welfare di sini baru-baru ini bagi memohon bantuan dana RM100,000 kerana tidak berkemampuan.
Jelas beliau, bapa bayi berkenaan, Shahrul Nizam Ahmad, 33, seorang pemandu lori dengan gaji pokok sekitar RM2,300, manakala ibunya, Siti Nabila Sahifulantkras, 35, suri rumah.
"Bantuan orang ramai diperlukan agar pembedahan itu tidak tertangguh, doktor kata saluran sumbat akan menyebabkan anak mati mengejut, ini amat membimbangkan ibu bapanya.” katanya lagi.
Orang ramai yang berhasrat membantu untuk meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan derma menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3201428817 atau layari www.onehopecharity.org.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!