Hubungan erat AS-Malaysia berkekalan walau apa pun keputusan pilihan raya - Kagan

Edgard D Kagan
Edgard D Kagan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akan kekal kukuh, tidak kira siapa yang akan memenangi pilihan raya, kata Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.

"Hubungan ini sentiasa kukuh tanpa mengira siapa atau parti mana yang berada di Rumah Putih.

"Saya percaya asas hubungan yang mendalam adalah paling penting dan saya yakin ia akan berterusan."

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyaksikan siaran langsung Pilihan Raya AS di sini pada Rabu sebagai respons terhadap bagaimana keputusan itu akan memberi kesan kepada Malaysia, terutamanya apabila negara ini akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

Kagan berkata, AS dan Malaysia telah menikmati lebih 65 tahun hubungan diplomatik yang kukuh dan menyatakan bahawa walaupun dasar mungkin berubah jika terdapat presiden baharu, asas hubungan dua hala akan kekal sama, dengan menekankan komitmen mendalam dan dwipartisan AS terhadap rantau Indo-Pasifik.

Kagan turut ditanya mengenai penolakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini terhadap seruan Setiausaha Negara AS Antony Blinken untuk mengehadkan hubungan dengan Rusia.

Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau menyatakan bahawa AS mengakui kedaulatan Malaysia dan haknya untuk menjalinkan hubungan luar secara bebas.

"AS akan mengambil semua langkah yang sesuai dan perlu untuk memastikan kepentingan kami dilindungi," katanya sambil menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua negara akan dapat mencari titik persamaan untuk bekerjasama sambil menghormati kepentingan teras masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Amerika di Kuala Lumpur berkumpul di sebuah hotel terkenal di sini untuk menyaksikan persaingan sengit antara bekas presiden Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris ketika keputusan pilihan raya terus diterima.

Acara anjuran kedutaan AS ini mengumpulkan ekspatriat, diplomat dan peminat politik tempatan.

Suasana dipenuhi dengan keterujaan ketika para hadirin mengikuti perkembangan langsung dari negeri medan pertempuran utama.

Skrin besar menyiarkan siaran langsung, dengan hiasan merah, putih dan biru mencipta suasana yang meriah tetapi tegang. Walaupun Trump sedang mendahului, persaingan masih terlalu sengit untuk dipastikan pemenangnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!