RUU Perkhidmatan Parlimen: Mesyuarat bincang isu perjawatan diadakan
KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat bagi membincangkan isu perjawatan serta sumber manusia perkhidmatan Parlimen akan diadakan tahun ini bagi membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dibentangkan secepat mungkin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"(Perkara) yang hanya tinggal (dalam rang undang-undang ini) adalah berkenaan cadangan penetapan dasar iaitu melihat aspek tertunggak iaitu berkenaan pegawai-pegawai Parlimen. Ini sahaja aspek yang tertinggal dan tertunggak.
"Jadi apabila mesyuarat ini dapat dikemas kini, diselesaikan dan mendapat keputusan, saya berharap insya-ALLAH pada 2025 boleh menjadi satu kenyataan supaya RUU Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) ini dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri dari (segi) dasar supaya RUU (bagi membuat) pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 pula dilihat dapat menjadi satu realiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Azalina, cadangan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen merupakan antara agenda reformasi institusi yang direncanakan Kerajaan Madani.
Inisiatif itu katanya sebagai usaha memartabatkan Parlimen Malaysia menerusi doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, melalui cadangan itu, perkhidmatan Parlimen yang baharu akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia termasuk perkara melibatkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan serta perkara-perkara berkaitan.
Malah, katanya bagi penggubalan RUU itu, beberapa sesi libat urus telah berjalan sejak 2023 dengan komitmen daripada pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.
Mengenai tambahan peruntukan kepada Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025, Azalina berkata ia antara lain melibatkan peruntukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang menjadi badan pemantau.
"Bagi saya itu tanda yang baik sebab Jawatankuasa Pilihan Khas diduduki oleh kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan. Saya percaya setiap jawatankuasa ini perlu dilengkapi dengan peranan untuk menjadi badan memantau dan saya yakin akan menggalakkan tanggungjawab (masing-masing),” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!