Derma darah dapat 5 kilogram beras

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan sasaran kutipan sebanyak 3,000 beg darah. Gambar hiasan
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan sasaran kutipan sebanyak 3,000 beg darah. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah mengambil inisiatif menyumbangkan lima kilogram beras kepada setiap peserta yang menyertai Program Derma Darah Perdana dianjurkan mereka sepanjang bulan ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tan Hong Eng berkata, inisiatif itu dijalankan untuk menarik minat orang ramai mengisi bekalan tabung darah di negeri ini.

Katanya, program itu dianjurkan dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan sasaran kutipan sebanyak 3,000 beg darah.

“Program ini dianjurkan bermula 1 November lalu hingga 30 November depan dan setiap individu yang tampil menderma darah akan menerima lima kilogram beras sebagai tanda penghargaan daripada kami di atas kesudian mereka membantu pesakit memerlukan,” katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan dianggap penting bagi menangani kekurangan darah yang kritikal memandangkan keperluan bulanan darah bagi Kedah dan Perlis mencecah 5,000 beg sebulan.

"Justeru, kami mengambil inisiatif ini bagi menggalakkan lagi orang ramai dari setiap golongan dan peringkat umur untuk menderma darah.

"Setakat ini sambutannya cukup menggalakkan dengan kami telah berjaya mengumpulkan lebih 600 beg darah dalam tempoh beberapa hari program ini dijalankan,” katanya.

Jelasnya, program berkenaan akan dilaksanakan di beberapa kawasan tumpuan antaranya pusat membeli-belah, kem tentera serta rumah ibadat.

Artikel Berkaitan:

“Antara lokasi penganjuran program itu termasuklah di lobi HSAH pada 7 dan 18 November, Amanjaya Mall pada 23 November serta Village Mall pada 16, 24, 29 dan 30 November.

“Selain itu, program berkenaan turut dianjurkan di beberapa institusi pengajian tinggi di negeri ini antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah serta Universiti Aimst di Sungai Petani,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!