JKM beri perlindungan kepada 21 warga emas ditinggalkan depan pejabat NGO
BUTTERWORTH - Nasib 21 warga emas yang ditinggalkan di hadapan pejabat Yayasan Tamilar Kural Malaysia di Taman Inderawasih di sini, pada Selasa mendapat pembelaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Yayasan Tamilar Kural Malaysia, David Marshel berkata, seramai 13 orang termasuk tiga daripadanya yang mengalami masalah mental mendapat perlindungan di bawah JKM Pulau Pinang.
Menurutnya, lapan orang lagi telah diambil oleh Rumah Jagaan Love & Care, Kulim yang merupakan rumah jagaan swasta.
"Semua proses saringan kesihatan dan keterangan mereka telah selesai dijalankan sebelum mereka dipindahkan ke pusat perlindungan pada jam 10 malam pada Selasa.
"Bagi pihak Yayasan Tamilar Kural Malaysia kami ingin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Exco Kebajikan, Lim Siew Khim dan Exco Kesihatan, Daniel Gooi yang bertindak pantas dalam menangani isu ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seramai 21 warga emas yang dipercayai dari sebuah pusat jagaan di Sungai Karangan, Kulim ditinggalkan di hadapan Pejabat Yayasan Tamilar Kural Malaysia dekat Taman Inderawasih.
David Marshel berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mungkin disebabkan lawatan pihaknya ke satu pondok di dalam kebun kelapa sawit di Sungai Karangan yang menempatkan kumpulan warga emas terbabit.
Jelasnya, sebelum ini semua warga emas itu ditempatkan di sebuah rumah jagaan, namun pusat itu telah ditutup selepas terdapat kes seorang warga emas dipukul oleh penjaga rumah jagaan tersebut.
"Pihak JKM Kedah telah menyita rumah jagaan tersebut pada April 2024. Tetapi, lelaki yang mengendalikan rumah jagaan tersebut tidak menyerahkan kesemua penghuni kepada pihak JKM sebaliknya mereka ditempatkan di satu pondok di dalam kebun kelapa sawit.
"Tempat itu tiada apa-apa kemudahan asas dan tiada seorang penjaga atau jururawat pun untuk menjaga mereka yang tinggal di sana.
"Keadaan tempat itu buruk, berbau hancing dan tidak sesuai langsung untuk dihuni oleh sesiapa. Malah, ada penghuni yang telah dirantai di tempat itu, kononnya kerana mereka bermasalah mental," katanya lagi.
Berikutan itu, beliau berharap pihak berkuasa akan menyiasat individu yang telah meletakkan kesemua penghuni itu dalam keadaan yang begitu teruk dan penuh pengabaian selain mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!