Indeks harga pengeluar perkhidmatan naik 3.0 peratus suku ketiga - DOSM

Indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman kekal meningkat 2.4 peratus - Gambar hiasan (Gambar kecil: MOHD UZIR)
Indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman kekal meningkat 2.4 peratus - Gambar hiasan (Gambar kecil: MOHD UZIR)
A
A
A

INDEKS Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat perlahan sebanyak 0.3 peratus kepada 115.8 pada suku ketiga 2024 berbanding 0.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat 5.4 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 7.7 peratus pada suku sebelumnya, disumbangkan oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain (0.9 peratus).

"Indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman kekal meningkat 2.4 peratus (suku kedua 2024: 2.4 peratus) disebabkan oleh aktiviti perkhidmatan minuman (3.7 peratus) dan restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (2.5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, indeks pendidikan meningkat 0.8 peratus, disumbangkan oleh pendidikan menengah (1.7 peratus) manakala indeks kesihatan meningkat 0.3 peratus.

"Aktiviti profesional dan hartanah masing-masing meningkat sebanyak 0.2 peratus dan 0.1 peratus,” katanya.

Sebaliknya, indeks pengangkutan menurun 2.0 peratus (suku kedua 2024: -1.4 peratus), disebabkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara (-8.1 peratus).

"Selain itu, indeks maklumat dan komunikasi terus turun 0.1 peratus (suku kedua 2024: -0.1 peratus) disebabkan oleh indeks aktiviti telekomunikasi tanpa wayar (-0.2 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan suku tahunan, IHPRP meningkat 0.1 peratus berbanding penurunan 0.1 peratus pada suku kedua 2024 disebabkan terutamanya oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan kesenian, hiburan dan rekreasi, di mana kedua-dua indeks mencatatkan peningkatan 0.9 peratus.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, indeks pendidikan turut meningkat 0.2 peratus manakala indeks kesihatan, profesional dan maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

"Bagaimanapun, indeks pengangkutan dan aktiviti hartanah masing-masing turun 0.6 peratus dan 0.5 peratus,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!