Pahang kenal pasti bangunan untuk cadangan CLQ
KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan sebuah kuarters pekerja berpusat (CLQ) untuk kemudahan penginapan pekerja yang selesa, selamat dan berstruktur di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, setakat ini belum ada kemudahan tersebut di Pahang.
Menurutnya, usaha sedang dilakukan bagi mewujudkan CLQ pertama di negeri ini termasuk mengenal pasti premis atau bangunan yang sesuai untuk diubah suai sebagai kuarters penginapan pekerja itu.
"Setakat ini sebuah blok bangunan terbiar di Jalan Haji Ahmad dikenal pasti sesuai untuk dijadikan CLQ.
"Difahamkan bangunan itu asalnya dijadikan asrama pelajar namun telah dikosongkan sejak lima tahun lalu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Chon Siang telah turun padang meninjau bangunan yang dicadangkan untuk CLQ itu bersama wakil dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pemilik bangunan dan pemaju pada Isnin lalu.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas pihak JTK tiada masalah namun perlu mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
"Kita akan cuba kemukakan permohonan ini kepada MBK dan jika mendapat kelulusan, hasrat kita untuk mewujudkan CLQ pertama dapat direalisasikan.
"Dijangkakan bangunan yang mempunyai 43 bilik itu mampu menempatkan lebih 120 pekerja," katanya.
Tambah beliau, inisiatif itu diambil bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga serta mematuhi piawaian dan undang-undang yang telah ditetapkan.
"Kerajaan negeri menggalakkan dan sedia membantu pihak yang berminat untuk melabur bagi membangunkan kemudahan sedemikian di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!