Integrity Talk pupuk kesedaran dalam kalangan pekerja
PUTRAJAYA - Program Integrity Talk yang dianjurkan Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters berjaya memupuk kesedaran mengenai integriti dalam kalangan pekerja dan pengurusan tertinggi.
Timbalan Pengarah Unit Integriti, Suruhanjaya Tenaga (ST), Mariatinawati Yusoff berkata, perkara itu dapat dilihat selepas beberapa siri penganjurannya bersama ST.
"Pada awal penubuhan unit ini, kami banyak menerima aduan dan alhamdulillah selepas beberapa siri program ini diadakan di ST negara, ia memberi petunjuk yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Integrity Talk: Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan " Bukan Lupa, Tak Ingat", di sini pada Rabu.
Tambah beliau, antara perubahan ketara yang dapat disaksikan adalah ketepatan masa dan polisi penerimaan hadiah.
"Jika dahulu ada aduan berkaitan tata kelola dan salah guna kuasa tetapi selepas kami adakan program seperti ini secara berkala, akhir-akhir ini ia sudah banyak berubah contohnya, tiada lagi hamper atau hadiah yang diterima di ST.
"Jika ada ditawarkan sesuatu, pegawai akan merujuk kepada unit kami terlebih dahulu untuk membuat penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.
Terdahulu, Integrity Talk: Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan " Bukan Lupa, Tak Ingat" itu dibarisi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Samsul Salip sebagai panelis.
Ia dikendalikan Pengarah Jabatan Undang-undang ST, Khairul Nizam Mohd Kamal, sebagai moderator.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!