Wanita pengsan lihat rumah terbakar, sangka anak terperangkap
PASIR MAS - Seorang ibu pengsan selepas melihat rumahnya di Kampung Merbau, Alor Pasir di sini terbakar kerana terlalu bimbangkan keselamatan anak lelakinya yang mengalami masalah 'anxiety'.
Jiran mangsa, Maizan Abdullah, 51, berkata, semasa kejadian pada malam Selasa itu, Noor Riza Mat Zain, 55, tiada di rumah kerana keluar makan malam bersama salah seorang lagi anaknya.
Menurutnya, Noor Riza terlalu terkejut dan menyangka anaknya, Ahmad Lutfir Rahman Pakerdin, 26, yang sakit terperangkap di dalam rumah terbabit kerana dia jarang keluar.
"Alhamdulillah Ahmad Lutfir berjaya menyelamatkan diri dengan terjun daripada tingkap rumah ketika api sedang marak dan melecur pada tangan kiri.
"Dalam kejadian ini sebanyak tiga rumah terlibat. Alhamdulillah rumah saya terselamat walaupun berjarak hanya beberapa meter," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Maizan memberitahu, dia segera menelefon talian kecemasan 999, sebelum pihak bomba datang membantu memadamkan kebakaran.
Ujarnya, kesemua jiran yang terlibat kini menumpang di rumah sanak saudara mereka buat sementara waktu.
Sementara itu, Ketua Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Ismadi Mohamad Taib berkata, sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat tiga buah rumah terbakar sebanyak 90 peratus.
"Kami mengambil masa selama 30 minit untuk memadam kebakaran sepenuhnya dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
"Turut musnah dalam kejadian tersebut ialah sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan empat buah motosikal. Kami juga dimaklumkan hanya dua rumah berpenghuni manakala sebuah lagi adalah rumah kosong," katanya.
Menurut beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!