Segera tangani krisis halal, elak implikasi lebih besar

JIKA berlaku isu tular berkaitan halal, ia perlu ditangani segera bagi mengelak implikasi lebih besar dan menjadi krisis halal. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
JIKA berlaku isu tular berkaitan halal, ia perlu ditangani segera bagi mengelak implikasi lebih besar dan menjadi krisis halal. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

KRISIS halal perlu ditangani segera bagi mengelak implikasi besar kepada masyarakat dan mendatangkan kekacauan hingga menghilangkan kepercayaan kepada sesebuah organisasi.

Demikian tegas Ustaz Mohamad Yusof Mahmod dari Unit Penguatkuasaan dan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika ditemu bual dalam program Podcast Bicara Halal: Isu Tular dan Krisis Halal pada Isnin.

Mengulas lanjut, permulaan krisis halal sama seperti isu tular berkaitan halal yang tersebar dalam kalangan masyarakat.

“Jika ia melibatkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kita akan dapatkan eksekutif halal mereka, tanya apa sebenarnya berlaku atau ke premis berkenaan dan meminta mereka segera membuat pembetulan supaya tidak melarat menjadi krisis.

“Kalau dapat jawapan ia boleh diselesaikan segera, maka kita akan terus memberitahu kepada pengadu atau masyarakat. Biasanya Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam keluarkan kenyataan untuk menenteramkan masyarakat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi program itu yang disiarkan menerusi Facebook Radio An Nur yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Johor.

USTAZ MOHAMAD YUSOF
USTAZ MOHAMAD YUSOF

Dalam pada itu, Ustaz Mohamad Yusof menjelaskan, syarikat atau mangsa isu tular berkaitan krisis halal berulang kali boleh mengeluarkan satu kenyataan peringatan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu boleh dilakukan sekiranya pihak syarikat sudah melakukan proses pembetulan dan penambahbaikan, tetapi sentimen tular tetap dimainkan untuk menjatuhkan reputasi perniagaan.

“Mungkin dulu (ada) berlakunya kesilapan, tetapi sudah buat pembetulan dan penambahbaikan, namun orang masih lagi ‘mainkan’ bahawa produk ini salah, tidak selamat atau tak halal.

“Maka jangan putus asa untuk tonjolkan kebenaran dan keluarkan kenyataan bahawa syarikat sudah mengambil langkah-langkah tersebut menggunakan mana-mana platform mereka termasuk media sosial,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ustaz Mohamad Yusof menjelaskan, syarikat itu juga boleh membuat permohonan kepada pejabat JAINJ untuk membantu mereka melakukan pencerahan dan menguar-uarkan hebahan tersebut.

“Paling penting, ia benar dan betul, bukan direka-reka supaya semua pihak tidak terjejas dengan dengan perkara fitnah, rekaan atau palsu.

“Itu antara perkara yang kami boleh bantu untuk hentikan penyebaran (isu krisis halal) ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!