Jabatan Penjara Malaysia sokong Akta Tahanan Rumah
KAJANG - Fasiliti penjara di seluruh negara, telah mengalami kadar pertambahan prospek melebihi 11.24 peratus berbanding kapasiti sebenar.
Menerusi kenyataan media, Jabatan Penjara Malaysia menyatakan, setakat Selasa, kadar pertambahan adalah melebihi kemampuan iaitu 87,419 orang berbanding 74,146 sahaja.
Menurutnya, setakat ini, jumlah prospek dalam penjara ialah seramai 82,482 bersamaan 94.35 peratus sementara di komuniti mencecah 4,937 orang (5.65 peratus).
“Kadar pemenjaraan ialah seramai 245 daripada 100,000 penduduk, berbanding kadar purata dunia 145 daripada 100,000 orang.
“Nilai yang tinggi ini, tidak baik untuk imej negara di kaca mata dunia, daripada segi keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.
Jabatan itu berkata, jumlah keseluruhan institusi penjara di seluruh negara ialah sebanyak 43 buah yang mana 19 daripadanya mengalami kapasiti melebihi 20 peratus, terutamanya penjara di bandar-bandar besar.
Sehubungan itu keperluan untuk mengwujudkan Akta Tahanan Rumah merupakan hukuman alternatif yang membolehkan prospek menjalani hukuman di rumah dengan peraturan-peraturan mengikut masa yang ditetapkan.
Katanya, ia dapat mengawal pergerakan prospek untuk kekal di dalam rumah bersamaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa negara menghadapi pandemik Covid-19.
Menurutnya, ia terbukti dengan penurunan kadar jenayah seluruh negara ketika itu.
Selain itu, kenyataan media ini berkata, Program Pemulihan Dalam Komuniti atau hukuman alternatif baharu yang lain boleh pengurangan kesesakan di institusi penjara, mengurangkan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa kini dan menjimatkan kos kepada kerajaan.
Ia juga memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Susulan itu, jabatan ini menyokong penuh cadangan hukuman alternatif dengan mengwujudkan Akta Tahanan Rumah yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2025 lalu.
“Menerusi peruntukan undang-undang bawah Seksyen 43, 46 dan 47 Akta Penjara 1995, ia memberi ruang kepada kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk memperkenalkan hukuman alternatif melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan menggunakan ‘Program Corporate Smart Internship’ (CSI).
“Ia ialah seperti Program CSI Parol, CSI Program Banduan Secara Lesen (PBSL), CSI Program Bebas Lesen (PBL) dan Program Reintegrasi Penghuni Industri kepada prospek yang layak diberi Pemulihan Dalam Komuniti.
“Kadar ‘residivis’ atau jenayah berulang juga rendah di bawah program PDK iaitu sebanyak 0.24 peratus berbanding dengan 17.6 peratus bagi mereka yang hanya menjalani pemulihan dalam fasiliti atau dalam penjara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!