Negara perlukan hala tuju ekonomi baharu

Negara memerlukan hala tuju dan tindakan ekonomi yang lebih jelas seiring dengan perubahan iklim ekonomi dunia dan masalah geopolitik. Gambar kecil: Mohd Azwardi
Negara memerlukan hala tuju dan tindakan ekonomi yang lebih jelas seiring dengan perubahan iklim ekonomi dunia dan masalah geopolitik. Gambar kecil: Mohd Azwardi
A
A
A

ALOR SETAR - Negara memerlukan hala tuju dan tindakan ekonomi yang lebih jelas seiring dengan perubahan iklim ekonomi dunia dan masalah geopolitik.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, antara hala tuju ekonomi yang boleh dikembangkan ialah menjadikan membeli-belah dalam talian sebagai pemecah ekonomi negara.

Menurutnya, ini kerana penarikan subsidi dan kenaikan cukai oleh kerajaan dalam tempoh singkat mengganggu kitaran ekonomi semula jadi selain menyebabkan hutang isi rumah meningkat serta dibimbangi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Rakyat negara ini masih mempunyai kuasa beli yang baik walaupun dengan kenaikan cukai pembelian atas talian.

“Kajian 2022 menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia gemar membeli belah dalam talian, dengan 60 peratus menyokong penjual tempatan dengan jumlahnya puluhan billion,” katanya.

Mohd Azwardi berkata, antara platform e-dagang yang popular di negara ini ialah Shopee, Lazada dan TikTok.

“Inilah masanya wujudkan satu sistem ekonomi dalaman, iaitu platform e-dagang sendiri untuk jual barangan tempatan.

“Tranformasikan institut latihan teknikal kepada kilang pembuatan. Kenakan cukai pada barang import yang mempuyai pengganti barang tempatan supaya barang import lebih mahal. Selain pastikan barangan tempatan semakin banyak dalam talian tempatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, secara tidak langsung ia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengeluarkan pelbagai produk.

“Produk berbentuk teknikal mesti dikeluarkan oleh kilang-kilang yang dioperasikan oleh institut teknikal seperti Kolej Vokasional, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Akademi Binaan Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia dan semua universiti yang memiliki Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Perkasakan sektor perniagaan dalam talian, pelbagaikan produk tempatan sehingga ke tahap hampir semua barang dari dalam talian China, kita juga ada,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut menyarankan agar kerajaan menggemblengkan semua sumber yang ada supaya satu gagasan seperti Wawasan 2020 diwujudkan semula.

“Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dari enam peratus kepada lapan peratus selain pengenalan pelbagai cukai baharu untuk menambah pendapatan negara.

“Penghapusan subsidi, kenaikan cukai dan pengenalan cukai baharu perlu dibuat secara berhati-hati. Nampak seperti jalan pintas terbaik tetapi kesannya juga perlu kajian teliti,” katanya.

Menurutnya, subsidi secara beransur-ansur akan disemak dan dikurangkan sehingga mencapai subsidi sifar seperti bahan api, minyak masak, telur dan ayam.

“Secara praktikalnya, cukai dinaikkan dan subsidi dikurangkan secara selari. Adakah subsidi itu buruk untuk ekonomi negara?” soalnya.

Mohd Azwardi memaklumkan, Arab Saudi, Australia, India dan China masih memberi subsidi untuk bahan api.

“Australia beri A$14.5 bilion subsidi kepada pengeluar dan pengguna bahan api fosil utama pada 2023-2024. India beri subsidi kasar kira-kira INR 23.45 bilion setiap tenaga diperoleh daripada petroleum dan gas asli.

“Arab Saudi mempunyai subsidi tertinggi, hampir $7000 seorang dengan majoritinya disalurkan kepada produk minyak. Diikuti oleh Korea Selatan, Rusia dan Jepun.

“Iran cuba hapuskan subsidi barangan makanan, bersama bahan api seperti petrol. Namun pemotongan subsidi itu menyebabkan kekacauan awam dan mengganggu kitaran ekonomi negara itu,” jelasnya lagi.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia, jumlah hutang negara meningkat dari RM1.17 trilion kepada RM1. 22 trilion pada akhir April.

“Hutang isi rumah sebanyak RM1.53 trilion pada akhir 2023, merangkumi pembiayaan pinjaman perumahan (60.5 peratus), pinjaman kenderaan (13.2 peratus) dan pembiayaan peribadi (12.6 peratus).

“Ia beri gambaran ekonomi negara membimbangkan. Ditambah dengan ketidakseimbangan antara belanja mengurus RM335 bilion berbanding RM86 bilion belanja pembangunan, menunjukkan arah pembangunan negara perlukan perhatian segera pakar-pakar ekonomi,” katanya.

Mohd Azwardi turut menyifatkan langkah kerajaan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai tidak tepat walaupun dilihat baik untuk rakyat dan negara.

“Penghapusan subsidi dan cukai lebih banyak sebenarnya memanjangkan usia ekonomi negara tanpa ada sasaran khusus,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!