Wujud subjek khas dan kelab Rasuah Busters, bantu murid sekolah fahami rasuah
SHAH ALAM - Kerajaan dicadang untuk mewujudkan subjek khas atau modul tambahan dalam silibus pembelajaran serta mewujudkan kelab Rasuah Busters untuk menambah kefahaman gejala itu dalam kalangan murid sekolah.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbangkan cadangan tersebut setidaknya memasukkan informasi rasuah ke dalam subjek Pendidikan Islam serta Moral.
“Alangkah baiknya jika ia dapat diwujudkan supaya murid sekolah lebih faham gejala yang menjadi isu di negara kita.
“Berkenaan mewujudkan kelab Rasuah Busters ditubuhkan di sekolah-sekolah pula, secara tidak langsung dapat memperluas dan selarikan dengan usaha sebenar gerakan yang dibuat di peringkat luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang memperhebatkan kempen dan program di semua sekolah negeri itu bagi memberi pendedahan di peringkat akar umbi berhubung keburukan gejala rasuah.
Pengarahnya, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, beliau percaya pendedahan awal secara berterusan tentang keburukan rasuah dapat menjauhkan masyarakat daripada melakukan atau terlibat dengan jenayah berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Syahir mengulas, usaha untuk menyebarkan kefahaman mengenai rasuah di peringkat sekolah masih lagi tidak aktif.
“Mungkin kerana mereka bukan menjadi sasaran pihak berwajib untuk menyampaikan kefahaman berkaitan isu ini.
“Tetapi kita kena tahu, rasuah dalam kalangan itu juga boleh terjadi sama ada kecil ataupun secara tidak sedar. Contohnya, mungkin ada antaranya yang ‘bantu’ buat aktiviti negatif, jadi untuk tutup kesalahan mereka akan beri ganjaran kepada satu sama lain untuk elakkan memberitahu guru,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menggalakkan pihak sekolah untuk turut bekerjasama dengan badan pencegahan rasuah kerana ia penting untuk mengelakkan golongan berkenaan melakukan jenayah tersebut apabila dewasa kelak.
“Insya-ALLAH bila sudah besar, mereka dapat elakkan diri daripada jenayah itu sekali gus mengurangkan kes dari meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!