Kita perlu bentuk tadbir urus dengan baik - Khairrul Aminus
SHAH ALAM - Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu akad dan janji dalam mendepani cabaran dalam menjalankan tugas seharian, kata Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.
Menurutnya, IBR merupakan salah satu initiatif Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam menzahirkan komitmen tinggi dalam memerangi dan membendung sebarang perlakuan jenayah rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dalam jabatan.
"IBR ini merupakan satu akad, satu janji kita dan jangan ia hanya menjadi suatu yang retorik.
"Kita perlu bentuk tadbir urus yang baik dalam mendepani cabaran dalam menjalankan tugas seharian kita di JIM Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, JIM Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menganjurkan Majlis Libat Urus Ikrar Bebas Rasuah di di Auditorium Dato Seri Harun Idris, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di sini, pada Rabu.
Sesi lafaz IBR JIM Selangor diketuai Khairrul Aminus dengan disaksikan oleh Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi menandatangani IBR oleh Khairrul Aminus dan Alias.
Sementara itu, kata Alias, pegawai JIM Selangor diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.
Beliau turut menyarankan pegawai dan kakitangan JIM Selangor untuk melaporkan sebarang sogokan atau cubaan menawarkan rasuah.
"Ganjaran akan diberikan kepada penjawat awam yang melaporkan pemberian rasuah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011," ujarnya.
Jelas Alias, majlis ini diharap akan menjadi suatu tanda kesungguhan JIM Selangor dalam memperbaiki imej, integriti pegawai dan kakitangan dan secara langsung meningkatkan tadbir urus selaras saranan Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!