Tiada mangsa terlibat kebocoran gas amonia di kilang
PONTIAN - Kebocoran gas ammonia di sebuah kilang di sini, pada petang Rabu berjaya dikawal pasukan bomba dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hasnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.03 petang.
Jelas beliau, seramai 19 anggota dari BBP Pontian Baru dan Larkin bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya pasukan bomba, kerja-kerja pemindahan baki 100 liter gas amonia dari tangki yang bocor dijalankan.
"Insiden berlaku disebabkan kebocoran paip gas amonia yang dianggarkan melepaskan sebanyak 50 liter gas amonia.
"Keselamatan di kawasan tersebut dijamin dengan tindakan segera pihak bomba yang melakukan pemindahan gas ke tangki bersebelahan serta pengosongan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pasukan Hazmat dari BBP Larkin tiba kemudian di lokasi pada jam 8 malam untuk membantu dan segera menjalankan pemeriksaan kebocoran pada aras bawah dan aras satu bangunan menggunakan alat pengesan GFG dan Gasmet.
"Bacaan kepekatan gas amonia menunjukkan 0.45 PPM, yang berada pada tahap terkawal dan selamat.
"Pihak kilang bersama-sama kontraktor yang dilantik kini bertanggungjawab untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan proses nyah cemar di kawasan terjejas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!