Ramai terjebak dadah sintetik, Kelantan paling tinggi - AADK
PUTRAJAYA - Penyalahgunaan dadah sintetik penyumbang paling tinggi dalam negara tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga September.
Menurutnya, jenis dadah sintetik itu adalah dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS) yang dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan kimia antaranya syabu, ice, dan batu dalam bentuk kristal.
"Manakala dalam bentuk tablet pula seperti pil kuda, ekstasi dan pil yaba.
"Seramai 119,410 penagih menyalahgunakan dadah jenis sintetik," katanya dalam ucapan dalam progam Sembang Santai bersama media di sini, pada Rabu.
Ruslin berkata, dadah jenis opiat pula mencatatkan angka kedua tertinggi dengan catatan kes sebanyak 38,854 orang, diikuti dadah jenis ganja seramai 6,750 orang dan pil psikotropik pula sebanyak 2,114 kes.
"Berdasarkan statistik penyalah guna dan penagih dadah serta bahan, seramai 169,691 orang telah dikesan mengambil dan menyalah guna bahan terlarang itu di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 162,360 orang adalah lelaki manakala wanita pula seramai 7,331 orang," ujarnya.
Beliau berkata, kadar penyalah guna dan penagih dadah atau bahan bagi setiap 100,000 penduduk menyaksikan Kelantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan catatan kes sebanyak 980 orang.
"Data ini disusuli dengan Terengganu dengan angka sebanyak 925 orang diikuti Perlis sebanyak 884 orang, Kedah (790 orang); Pahang (704 orang); Pulau Pinang (700 orang) dan Melaka sebanyak 664 orang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!