Bumbung Surau Taman Pekerti Simpang 3 Jeram bocor, reput

Rahenan (kanan) dan Harrison melihat keadaan siling bocor pada bahagian anjung surau berkenaan.
Rahenan (kanan) dan Harrison melihat keadaan siling bocor pada bahagian anjung surau berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 100 jemaah di Surau Taman Pekerti Simpang 3 Jeram di sini meluahkan kebimbangan berikutan keadaan bumbung pada bahagian anjung surau itu bocor dan reput sejak lima tahun lalu.

Ahli jawatankuasanya, Rahenan Kamaruddin berkata, keadaan bumbung bocor itu menyebabkan sebahagian kawasan anjung itu basah terutama jika hujan lebat.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan pembaikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan pada masa depan.

"Kita bimbang keadaan bertambah teruk pada musim tengkujuh ini yang boleh mengundang risiko kepada keselamatan jemaah yang menunaikan solat di surau ini," katanya pada Rabu.

Menurut Rahenan, beberapa bahagian siling dan dinding surau itu turut dikesan dimakan anai-anai yang menyebabkannya melendut dan mereput.

"Kita juga kenal pasti beberapa kerosakan lain antaranya masalah satu daripada dua tandas yang ada di surau ini tersumbat hingga terpaksa ditutup buat sementara waktu selain beberapa kepala paip rosak di tempat mengambil wuduk.

"Keadaan surau ini semakin daif dan memerlukan perhatian daripada pihak berwajib untuk tindakan segera," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, perkara itu telah dipanjangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau sendiri bersama-sama wakil PDT Kuala Selangor serta beberapa penduduk telah melihat sendiri beberapa kerosakan yang berlaku di surau berkenaan.

"Saya dibawa (jawatankuasa surau) memeriksa beberapa masalah diutarakan dan berharap ia mendapat perhatian dan tindakan segera," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!