DSP didakwa bunuh pelajar: Video kemalangan dipaparkan di mahkamah

Mohd Nazri dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh sebaik selesai hari kedua prosiding perbicaraan pada Rabu.
Mohd Nazri dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh sebaik selesai hari kedua prosiding perbicaraan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu memaparkan lima rakaman klip video kejadian berkait kes bunuh melibatkan seorang pegawai kanan polis terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima, tahun lalu.

Saksi ketiga, Asisten Superintenden Nur Fairuz menerusi penyataan bertulis memaklumkan analisis dijalankan terhadap rakaman daripada satu unit cakera padat (CD-R) dan seunit kad memori, dua cakera video digital (DVD-R) dan seunit kamera papan pemuka kenderaan bersama kad memori.

Beliau yang juga Juruanalisis Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM berkata, permohonan diterima bagi menjalankan analisis, penjelasan rakaman video dan gambar pegun serta pengeluaran semua data video.

Pada prosiding itu, saksi mengesahkan telah mengambil 24 gambar pegun daripada kelima-lima video tersebut selain mengesahkan imej belakang kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Nur Fairuz membuat pengesahan itu selepas diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam M Athimulan, saksi itu menjelaskan nombor pendaftaran kenderaan terbabit gagal dikenal pasti disebabkan imej kabur dan kurang jelas.

"Hasil analisis mendapati kedudukan kamera yang jauh daripada imej dikehendaki adalah faktor yang menyebabkan imej-imej yang dikeluarkan kelihatan kabur dan kurang jelas apabila diperbesarkan," katanya.

Pada prosiding perbicaraan hari kedua itu, empat keping gambar mayat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) turut dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

Gambar itu ditunjukkan ketika saksi pendakwaan kelima, Koperal Shahiran Mohamad daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

"Saya juga telah ambil empat keping gambar yang menunjukkan kesan kecederaan di bahagian muka yang nampak dari luaran, kesan kecederaan di bahagian tangan kanan yang nampak dari luaran.

"Gambar ketiga menunjukkan mayat di bilik mayat sebelum bedah siasat bermula serta gambar menunjukkan mayat si mati di bilik mayat sebelum bedah siasat bermula," katanya.

Katanya, selain gambar mangsa, dia juga diarahkan untuk mengambil gambar di sekitar lokasi pelanggaran serta gambar dua kenderaan yang terlibat.

"Di tempat kejadian, saya telah ambil 19 keping gambar antaranya menunjukkan papan tanda jalan di lokasi, pandangan arah laluan kedua-dua kenderaan dari jarak jauh, arah pandangan di mana pelanggaran berlaku dan serpihan papan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dalam kemalangan.

"Selain itu, saya juga telah mengambil lapan keping gambar motosikal terlibat di lokasi kejadian selain empat keping gambar kereta terbabit kemalangan di pekarangan IPD Ipoh," katanya ketika membaca penyataan bertulis di sini.

Terdahulu, jurugambar Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Detektif Koperal Muhamad Zainudin Zainal Abidin, turut dipanggil memberi keterangan.

Mohd Nazri diiringi polis tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.
Mohd Nazri diiringi polis tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari sehingga 17 Januari tahun depan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Pihak pendakwaan akan membuktikan berlakunya perlanggaran yang menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian dalam sabitan kes bunuh.

Perbicaraan kes disambung pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!