Imigresen gempur lokasi 'hotspot', 75 warga asing ditahan
JOHOR BAHRU - Seramai 75 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam beberapa operasi di kawasan hotspot di bandar raya ini selama tiga hari bermula Ahad.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pertama dilakukan sekitar Pasir Gudang dan Desa Cemerlang bermula jam 12 tengah hari Ahad hingga 1.30 tengah hari Isnin.
Jelas beliau, sebanyak 28 restoran dan medan selera yang menjadi kawasan hospot warga asing bekerja diserbu dalam Ops Selera, Ops Dandan, Ops Belanja dan Ops Kutip.
“Menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, seramai 133 warga asing dan warga tempatan diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 68 warga asing ditahan melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal.
“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 13 notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.
Sementara menerusi Ops Bersama di sekitar Iskandar Puteri pada jam 5.30 petang Selasa, seramai enam lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan.
“Seramai 133 orang warga asing dan warga tempatan diperiksa. Mereka yang ditahan melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia.
"Turut ditahan tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal masing-masing berumur antara 18 hingga 58 tahun,” katanya.
Menurut Mohd Rusdi, semua warga asing terbabit melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
“Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi apa-apa arahan yang diendorskan atas pas serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!