AADK terap kepentingan pendidikan bagi penagih

Ruslin ditemui pemberita ketika Program Sembang Santai Bersama Media di Putrajaya pada Rabu.
Ruslin ditemui pemberita ketika Program Sembang Santai Bersama Media di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bukan sahaja merawat dari belenggu dadah, tetapi turut menerapkan kepentingan pendidikan bagi penagih di bawah umur 18 tahun melalui modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 12 orang penagih yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berjaya lulus dalam mata pelajaran yang diambil.

"Daripada jumlah itu, seramai 11 orang adalah penagih dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah, manakala seorang calon lagi adalah dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.

"Kesemua klien yang lulus SPM 2023 berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat Mara Malaysia dan politeknik," katanya dalam Program Sembang Santai Ketua Pengarah AADK Bersama Media di sini, pada Rabu.

Tambah Ruslin, selain itu, pihaknya turut menyediakan dua program utama dalam teras rawatan, perubatan dan pemulihan.

Katanya, program itu ialah Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

"Berdasarkan data setakat 4 November, seramai 51,897 klien sedang menjalani program RPDK.

"Daripada jumlah itu, 1,696 klien telah tamat program RPDK selain seramai 1,496 klien daripadanya mencapai tahap kepulihan yang diukur menerusi kaedah pengukuran Cure and Care Recovery Index (CCRI)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, dalam tempoh sama, jumlah klien RPDI pula adalah seramai 5,769.

"Seiring dengan peredaran semasa, AADK berjaya mengorak langkah memberi perkhidmatan kepada kumpulan-kumpulan khusus yang mempunyai kekangan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di fasiliti AADK melalui Mobile Recovery Treatment (MRT) AADK.

"Perkhidmatan MRT AADK telah memberi manfaat kepada mereka yang berada di daerah dan institusi juga merangkumi Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jabatan kerajaan lain melalui kolaborasi rakan strategik," katanya.

Jelasnya, ia merupakan perkhidmatan bergerak rawatan dan pemulihan yang berkonsepkan ‘AADK kepada Anda’ yang berupaya mengakses lebih ramai klien dirawat pulih, menyelesaikan isu klien seperti logistik, kewangan atau kekangan perundangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!