Mimpi bertemu Rasulullah tidak perlu diuar-uar, bahas, tular - Nooh Gadut
SHAH ALAM - Mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW tidak perlu diuar-uarkan kepada umum, dibahas atau ditular kepada media massa termasuk platform elektronik bagi menjauhkan daripada riak, ujub serta takabbur.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, perkara tersebut sekali gus boleh mendatangkan fitnah, kekeliruan, salah faham dan salah tafsir oleh masyarakat awam.
Ujar beliau, ia merupakan salah satu daripada 12 syarat hasil keputusan Muzakarah MKI berkaitan kepercayaan terhadap takwil atau tafsiran mimpi.
“Ia (mimpi) tidak mengandungi pesanan atau arahan baru yang menyalahi akidah, syariah dan akhlak.
“Mimpi tidak bersifat mutawatir dan dijamin kesahihannya sebaliknya hanya pengalaman peribadi yang subjektif, tidak dapat disahkan atau dibuktikan kepada orang lain secara mutawatir serta qat'ie,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menceritakan bagaimana Rasulullah datang ke Rusila di Marang, Terengganu selain meminta ahli politik tersebut mendamaikan perbalahan antara golongan Sunni dan Syiah.
Dakwaan itu mencetuskan perdebatan ramai termasuk dalam kalangan pimpinan politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan motif Ahli Parlimen Marang membangkitkan perkara berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Isnin berkata, beliau telah meminta Nooh untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, syarat lain adalah mimpi tidak membawa kepada fanatik dan ketaasuban atau mendorong seseorang itu meninggalkan akidah Islamiah serta syariat.
Ulas Nooh, ia juga tidak mengeksploitasi mimpi sebagai wasilah untuk mendapatkan pengaruh, kepentingan peribadi, sanjungan dalam bentuk pujian atau keuntungan material.
Tambah beliau, umat Islam perlu menerima anugerah mimpi itu dengan penuh ikhlas dan jujur semata-mata kerana ALLAH SWT.
“Rupa paras, sifat fizikal dan sifat peribadi Nabi Muhammad SAW banyak disebutkan dalam hadis yang sahih dan kitab muktabar seperti kitab as-Syamail al-Muhammadiah.
“Justeru, mimpi seseorang bertemu Rasulullah SAW itu hendaklah bertepatan dengan ciri-ciri dan sifat Rasulullah SAW tersebut,” ujarnya.
Kata Nooh, antara syarat lain ialah tidak beriktikad, menyakini dan mempercayai bahawa takwilan serta tafsiran itu seratus-peratus benar kerana mimpi tidak mengisbatkan apa-apa di samping hanya bersifat dzanniyyah.
Ujarnya, takwilan dan tafsiran mimpi itu tidak boleh bertentangan dengan akidah, syariah, akhlak Islam serta melanggar hukum-hakam ALLAH SWT yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.
“Tafsir dan takwil berdasarkan kepada tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab muktabar, orang-orang terkenal dengan kewarakan, keilmuan dan ketelusannya.
“Tidak membawa kepada perkara yang buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!