Kemenangan Trump dirai dunia
PARIS - Ucapan tahniah dizahirkan pemimpin dunia ke atas Donald Trump membanjiri platform media sosial pada Rabu selepas beliau mengisytiharkan kemenangannya meskipun keputusan rasmi belum disahkan.
Kebanyakan daripada mereka turut berikrar untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump selepas beliau kembali semula ke Rumah Putih.
Antara ucapan awal yang diterima adalah dari China, jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning tanpa merujuk bilionair hartanah itu secara langsung setelah hubungan antara kedua-dua negara itu agak tegang ketika pentadbiran penggal pertama Trump pada 2016.
“Kami akan meneruskan hubungan Beijing-Washington berdasarkan prinsip saling menghormati, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama menang-menang. Kami menghormati pilihan rakyat Amerika,” ujarnya.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov juga memberitahu wartawan beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang rancangan dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin setelah Moscow berulang kali dituduh campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS.
“Kami akan membuat kesimpulan berdasarkan langkah konkrit sahaja,” katanya. Bagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ia adalah isyarat permulaan baharu hubungan AS-Israel yang dikhuatiri banyak pihak akan merancakkan lagi peperangan di Asia Barat.
Anggota Biro Politik Hamas, Bassem Naim dalam satu kenyataan pula berharap pentadbiran Trump tidak lagi akan membabi buta menyokong entiti Zionis seperti pendahulunya.
Rantau Eropah turut bergembira atas kemenangan Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan ia sebagai kemenangan mengagumkan.
“Saya percaya dengan komitmen beliau menggunakan pendekatan keamanan melalui kekuatan dalam hal ehwal global. Ia adalah prinsip jelas yang boleh membawa keamanan lebih dekat di Kiev,” menurutnya.
Ucapan tahniah turut diberikan Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte yang berharap penggal kedua pentadbiran Trump akan menjadikan pakatan ketenteraan itu menjadi lebih kuat.
Ia disusuli dengan ucapan tahniah daripada Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen menerusi platform X.“Hubungan EU dan AS adalah lebih daripada sekutu. Kami terikat dengan perkongsian sejati antara rakyat kami yang menyatukan 800 juta penduduk di kedua-dua rantau.
“Ayuh bekerjasama dalam agenda transatlantik untuk memberi manfaat kepada rakyat kita,” ujarnya.
Itali, Perancis dan Jerman juga tidak terkecuali mengucapkan tahniah kepada Trump dan masing-masing berikrar untuk bekerjasama rapat dengan beliau demi keamananan, kemakmuran dan kebebasan. Hubungan lebih kukuh
Di rantau Asia Barat pula, pemerintah Qatar, Emir Sheikh Tamim Hamad al-Thani yang menjadi perantara proses damai konflik Gaza juga berharap untuk bekerjasama sekali lagi dengan Trump bagi mempromosikan keselamatan dan kestabilan di kedua-dua rantau berkenaan serta seluruh dunia.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menggelar 'sahabat saya Donald Trump' menerusi catatan di X.
“Saya berharap hubungan Ankara-Washington akan menjadi lebih kukuh dan krisis peperangan terutamanya isu Palestin dan Perang Rusia-Ukraine akan berakhir,” jelasnya.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi juga berharap 'kepulangan' Trump ke Rumah Putih akan membawa keamanan di Asia Barat.
Di rantau Asia pula, Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji kemenangan Trump.
“Saya berharap untuk memperbaharui kerjasama dengan Washington seperti kejayaan penggal pentadbiran anda sebelum ini,” menurutnya di platform X.
Korea Selatan selaku sekutu AS juga tidak terkecuali menjadi antara pemimpin terawal mengucapkan tahniah kepada Trump.
“Di bawah tampuk kepimpinan anda, pakatan ROK-AS akan menjadi lebih kuat. Tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan anda,” kata Presiden Yoon Suk Yeol merujuk kepada perikatan pertahanan antara Seoul dan Washington. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!