'Layanan mesra GRO terbantut'
KUALA LUMPUR- Gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang sedang leka melayan pelanggan berhibur bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Serbuan Op Gegar bermula kira-kira jam 11 malam, pada Rabu, di sebuah pusat hiburan terletak di Kepong, di sini, turut menyaksikan tindakan agresif wanita terbabit yang cuba merempuh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur gara-gara mahu meloloskan diri.
Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati cubaan beberapa wanita disyaki GRO itu gagal dengan kecekapan pasukan operasi.
Tinjauan juga mendapati premis dilengkapi dengan pintu 'rahsia' sebagai laluan belakang bagi melarikan diri.
Antara yang dikesan, pusat hiburan berkenaan dipercayai menawarkan perkhidmatan GRO dengan bayaran tip RM1,000 sehingga RM10,000 berdasarkan selempang berbeza warna yang dipakai.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu.
Katanya, hasil pemeriksaan, JIM Kuala Lumpur telah menahan 35 warga asing berusia 18 hingga 58 tahun disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Mengikut pecahan, wanita yang ditahan terdiri daripada 19 orang Thailand, Myanmar (2 orang) dan Vietnam (7 orang), manakala lelaki pula membabitkan seorang warga Indonesia dan Bangladesh (6 orang),” katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.
Jelasnya, JIM turut menyiasat pemilik premis mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Tegas Wan Mohammed Saupee, JIM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menggajikan PATI dan tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!