Peniaga nasi kandar saman Dr Maza RM1 juta isu bakar kereta
KANGAR - Seorang peniaga nasi kandar memfailkan saman terhadap Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Mahkamah Tinggi di sini dan menuntut RM1 juta kerana memfitnah, dengan mengaitkan kejadian kebakaran kereta Mufti Perlis itu dengan aktiviti pengganas, di akaun Facebook atas nama DrMaza.com, pada Mei 2019 lalu.
Ahmad Muzaini Mydin, 38, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ku Nur Farahi & Co pada 7 Jun lalu.
Plaintif yang juga seorang sukarelawan badan amal, dianggotai pemuda dan ahli Pas, menamakan mufti itu yang lebih dikenali sebagai Maza, selaku defendan tunggal.
Menerusi dokumen yang diperoleh media pada Khamis, ahli perniagaan itu mendakwa, terdapat insiden di mana kereta milik defendan terbakar di rumah mufti berkenaan, pada Mac tahun sama.
Lanjutan kejadian itu, defendan membuat kenyataan di media sosial mengaitkan kejadian itu dengan pengganas yang boleh mengancam nyawa.
"Pada 22 Mei 2019, mufti itu sekali lagi membuat hantaran baharu, mengaitkan nama saya dan seorang lagi lelaki, telah ditahan berhubung kes kebakaran keretanya selain memetik unsur-unsur perbezaan politik Pas dengan defendan.
"Bukan itu sahaja, defendan juga berniat jahat, kerana meletakkan nama dan gambar saya dalam kenyataan fitnah tersebut, untuk mengheret saya ke skandal awam seterusnya dicemuh yang mana ia boleh merosakkan nama baik, reputasi serta rangkaian perniagaan saya," katanya.
Plaintif berkata, kenyataan defendan menunjukkan ahli perniagaan itu sebagai seorang pengganas, diupah untuk mencederakan defendan menggunakan asid termasuk seorang ekstremis yang menghalalkan pembunuhan serta menghalalkan darah orang Islam yang berbeza pandangan politik atas nama jihad.
Katanya, kenyataan itu turut menunjukkan plaintif merupakan seorang penunggang agama demi kepentingan politik dan dalang di sebalik komplot untuk mencederakan mufti itu.
Susulan itu, Ahmad Muzaini menuntut mufti itu membuat permohonan maaf di akhbar dan media sosial, termasuk aku janji untuk berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan dan memfitnah, di masa hadapan.
Plaintif juga meminta ganti rugi am dan teruk serta perintah lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!