Beg berisi wang tunai RM1 juta hilang: Polis KL sedia bantu siasatan
KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur bersedia membantu siasatan berhubung kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point, Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya bersedia jika Polis Selangor meminta bantuan.
“Pada masa sama, kita akan menyalurkan sebarang maklumat yang diterima kepada Polis Selangor bagi membantu siasatan.
"Pasukan Polis Kuala Lumpur dan Selangor adalah kami sentiasa membantu dalam pelbagai kes," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.
Pada Khamis, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta di Ampang Point.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.55 petang berkaitan wang berkenaan dilaporkan hilang selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di kawasan itu.
Kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, berdasarkan maklumat yang tersebar kejadian berkenaan berlaku ketika pemandu van keselamatan menyedari pintu kenderaan terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!