Pesalah trafik 'serbu' kaunter bayar saman

Orang ramai yang hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.
Orang ramai yang hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaunter Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diserbu orang ramai pada Khamis.

Difahamkan, sebanyak 19 kaunter termasuk tiga untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung membayar saman yang dibuka pada jam 8.30 pagi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mula hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee seawal jam 7 pagi.

Seorang warga emas, Mohd Yusof Darus, 71, berkata, dia datang dari Bandar Tun Razak semata-mata untuk menyelesaikan saman.

"Program sebegini bagus, orang ramai yang hadir ke balai polis trafik ini tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan diskaun saman,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (kiri) bersama Mohd Yusri beramah mesra denyan orang ramai yang hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis, untuk membayar saman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (kiri) bersama Mohd Yusri beramah mesra denyan orang ramai yang hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis, untuk membayar saman.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 17,002 saman bernilai RM1.87 juta berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari.

"Anggaran pengunjung awam ke kaunter saman sejak Selasa lalu adalah seramai 3,100 orang," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program itu dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban kewangan sambil mendidik masyarakat untuk patuh pada peraturan jalan raya.

"Selain itu, ia memberi peluang kepada pemandu memperbaiki diri dan mematuhi undang-undang jalan raya pada masa akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, jumlah saman tertunggak direkodkan di seluruh negara sejak 1990 hingga 6 November berjumlah 43.5 juta bernilai RM 6.5 billion.

"Jumlah saman di Kuala Lumpur pula sejak Januari hingga 5 November lalu sebanyak 881,211, jumlah itu agak tinggi.

"Kesalahan halangan lalu lintas dan abai isyarat lalu lintas antara saman paling banyak dikeluarkan di seluruh negara," katanya.

Mohd Yusri (kanan) melihat orang ramai membayar saman di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.
Mohd Yusri (kanan) melihat orang ramai membayar saman di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan membayar saman tepat pada waktunya demi kelancaran urusan dan terhindar daripada hukuman yang lebih berat.

"Kepatuhan kita membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Polis Kuala Lumpur menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada pesalah trafik bermula Selasa hingga Sabtu ini.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata kaunter dibuka di Balai Polis Trafik Tun H S Lee.

Orang ramai boleh mengambil peluang membuat semakan serta pembayaran saman secara bebas tunai.

Mohd Zamzuri berkata, tawaran diskaun berkenaan tidak termasuk bagi kes saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan langgar lampu isyarat.

Kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!