Keringat Indra cukup berharga
“INSYA-ALLAH, saya masih mahu terus beraksi, masih mahu bermain bola sepak dan kalau rezeki saya masih bersama Kuala Lumpur, saya akan bersara di sini (bersama Kuala Lumpur).”
Itu reaksi awal bekas penyerang skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin ketika ditanya sasaran peribadinya menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bakal membuka tirainya secara rasmi pada 28 Februari ini.
Nama Indra sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pemain kelahiran Ipoh, Perak ini sudah membuat penampilan di pentas liga tempatan lebih 20 tahun.
Sepanjang kariernya setakat ini, Indra boleh berbangga dengan pengalamannya mewakili lapan pasukan berbeza bermula dengan menyarung jersi Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan Kuala Lumpur.
Bersandarkan pengalaman luasnya itu, maka bukan sesuatu mengejutkan apabila Indra kini meletakkan namanya sebagai antara penyerang tersohor yang pernah dimiliki Malaysia.
Bagi Indra selagi kudrat masih ada, dia tetap mahu menabur bakti dan mengerah keringat bersama pasukan yang diwakilinya biarpun usianya kini sudah mencecah 38 tahun.
“Sebagai pemain sudah pasti saya sentiasa mempunyai misi dan sasaran tersendiri. Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus membantu pasukan. Insya-ALLAH, saya akan cuba menjaringkan gol semampu yang boleh.
“Saya juga ada sasaran tersendiri untuk Kuala Lumpur dengan membantu pasukan kembali beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan. Itulah sasaran utama saya ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Pada masa sama, Indra memberitahu, dia tidak memikirkan soal persaraan buat masa ini kerana menyedari tugas dan tanggungjawabnya bersama skuad The City Boys masih belum selesai.
Menurutnya lagi, kehadiran bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan mampu menambahkan lagi kekuatan Kuala Lumpur bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.
“Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya, Shukor mampu membawa impak positif kepada pasukan. Saya juga berharap Shukor dapat membimbing pemain lain khususnya pemain muda,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!