Warga emas maut dalam nahas motosikal, tercampak 16 meter
PENAMPANG - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas sendiri dalam kejadian di Kilometer 34 Jalan Kota Kinabalu-Papar, Putatan, di sini awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 75 tahun tercampak sejauh 16 meter dari lokasi dia terbabit nahas tersebut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal tersebut dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.
"Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkannya tercampak dari kedudukan asal kenderaan tersebut.
"Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat.
"Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil menyalurkannya dengan pegawai penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
"Orang awam juga diminta untuk tidak menularkan sebarang imej atau klip video berkaitan kemalangan tersebut di media sosial bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!