Tukun tiruan DOF pulih, tingkat hasil tangkapan

Kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan oleh DOF di Pulau Kapas, Terengganu pada tahun ini.
Foto: DOF.
Kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan oleh DOF di Pulau Kapas, Terengganu pada tahun ini. Foto: DOF.
A
A
A

PUTRAJAYA - Projek pembinaan tukun tiruan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang dilabuhkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara bertujuan menyokong keterjaminan makanan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, sejumlah RM2.4 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan 74 unit tukun tiruan untuk projek tersebut pada tahun ini.

Beliau berkata, tukun tiruan itu dilabuhkan di beberapa lokasi strategik iaitu sebanyak 14 unit di Kedah, Perak (12 unit), Melaka (12 unit), Pahang (11 unit), Terengganu (13 unit) serta Kelantan (12 unit).

"DOF telah siap melaksanakan projek tukun tiruan bagi pemuliharaan sumber perikanan negara.

"Ia jelas menunjukkan potensi perikanan melalui pelaksanaan projek tukun tiruan ini terutama dalam usaha menyokong keterjaminan makanan negara.

"Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memastikan kelestarian ekosistem marin dan sumber perikanan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Adnan berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Sains Marin Asia Tenggara (ISMAT), sebanyak 129 kilogram (kg) sehingga 6,047 kg biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan berjaya dihasilkan oleh DOF pada 2020.

Kata beliau, satu tapak tukun tiruan mampu menghasilkan nilai sumber tertinggi ikan komersil berjumlah RM84,759.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, jelas beliau, nilai ekonomi yang mampu dijanakan daripada 74 tukun tiruan dianggarkan mencecah RM6.2 juta.

Menurut beliau, DOF berharap dengan pelaksanaan projek tukun tiruan tersebut, ia bakal memberikan impak positif terhadap pemuliharaan sumber perikanan dan pembangunan sosio ekonomi nelayan setempat.

Katanya, tukun tiruan bukan sahaja berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies marin, malah dalam masa sama menjadi kawasan pembiakan dan pembesaran ikan.

Dengan itu kata beliau, pelaksanaan projek tukun tiruan akan menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan.

"DOF akan terus komited untuk terus melabuhkan, memantau dan menilai keberkesanan tukun tiruan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!