Pelajar lelaki maut jatuh tingkat empat bangunan sekolah
SEREMBAN - Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah swasta di Lobak di sini maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah berkenaan pada Khamis.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku sebaik sahaja pelajar berusia 16 tahun itu tiba di sekolah.
Namun tidak dapat dipastikan bagaimana kejadian sebenar berlaku.
Pihak sekolah dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, sebaik menyedari kejadian terbabit, mereka segera menghubungi ambulans.
"Malangnya kakitangan perubatan mengesahkan pelajar itu telah pun meninggal dunia dan kejadian berlaku masih dalam siasatan polis.
"Pihak sekolah juga akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan dilakukan," katanya.
Dalam kenyataan itu pihaknya memaklumkan, akan memberi kaunseling psikologi secara berterusan kepada para pelajar untuk membantu emosi mereka.
Tambahnya, pihaknya turut berdukacita dan memohon maaf atas kejadian berlaku serta mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.
Difahamkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi menjalankan proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten, Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!