[VIDEO] MoU Ultimate print, Darphane tingkat industri teknologi digital negara
KUALA LUMPUR - Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate print) dan Darphane merupakan satu kerjasama baik untuk hala tuju Malaysia dalam meningkatkan kemampuan industri teknologi digital negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sememangnya mempunyai hubungan yang akrab dengan Kerajaan Turkiye terutama Perdana Menteri dan Presiden mereka.
Menurutnya, walaupun MoU itu melibatkan hubungan antara syarikat iaitu lebih kepada urusan perniagaan namun ia sangat penting kepada negara.
"MoU hari ini melibatkan entiti dimiliki Kerajaan Turkiye dan sektor swasta di Malaysia dan ia merupakan satu kerjasama penting terutama dalam bidang percetakan.
"Mereka mahu bawa teknologi terkini dan sebagainya di Malaysia. Saya lihat ia merupakan satu perkara yang baik untuk negara kita," katanya ketika hadir ke Majlis MoU antara Ultimate Print dan Darphane di sini pada Khamis.
Hadir sama, Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Ketua Pengarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin; Timbalan Pengarah Darphane, Mehmet Hekim ; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate print, Azizi Fickry.
Tambah Fadillah, kerjasama itu diharap dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak.
"Bukan sahaja dua negara tetapi hubungan antara perniagaan dan dalam masa sama dapat berkongsi maklumat mengenai teknologi serta pengalaman masing-masing," jelasnya.
Sebelum itu, Ultimate Print and Darphane menandatangani MoU bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama memajukan industri teknologi percetakan di Malaysia.
Objektif perjanjian tersebut untuk membina hubungan formal antara kedua-dua entiti perniagaan berkenaan.
Selain itu, kerjasama tersebut dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan negara ini.
Menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan inovasi, sekali gus membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.
Sebagai rekod, Ultimate Print merupakan sebuah syarikat percetakan unggul di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun yang menyediakan perkhidmatan percetakan buku, digital, pembungkusan, akhbar dan al-Quran.
Sementara Darphane pula merupakan sebuah firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan yang ditubuhkan pada 1467 sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.
Firma itu berpangkalan di Istanbul itu bertanggungjawab mengendalikan penghasilan syiling, wang kertas, cop mohor rasmi, pingat dan setem hasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!