Darphane sedia kongsi latihan kepakaran dengan Ultimate Print

Mehmet
Mehmet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Darphane bersedia menawarkan latihan pekerjaan di Istanbul, Turkiye kepada mana-mana pekerja Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print) untuk mempelajari cara pengendalian teknologi percetakan keselamatan.

Timbalan Pengarah Darphane, Mehmet Hekim berkata, hal berkenaan merupakan salah satu pendekatan bagi merapatkan jurang penggunaan mesin berteknologi tinggi.

“Disebabkan Ultimate Print mempunyai kepakaran dalam percetakan, saya menjangkakan tempoh masa yang diambil adalah dua tahun bagi pertukaran teknologi.

“Bagi menjayakan kerjasama ini, Ultimate Print memerlukan beberapa mesin berteknologi tinggi yang baharu untuk percetakan keselamatan seperti mesin reka bentuk dan perisian.

“Darphane akan senaraikan apa yang mereka (Ultimate Print) perlukan dan kami akan bimbing tentang cara penggunaan teknologi itu,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ultimate Print dan Darphane pada Khamis.

Hadir sama sewaktu majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Pengarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub serta Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print, Azizi Fickry.

Sementara itu, Mehmet memaklumkan bahawa kerjasama tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan antara dua syarikat malah turut melibatkan negara memandangkan Darphane adalah sebuah firma milik kerajaan Turkiye.

Menurutnya, Darphane mempercayai Ultimate Print kerana keupayaan sedia ada dalam percetakan keselamatan mampu untuk menyokong pengeluaran syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Ultimate Print mempunyai kemahiran pelbagai dalam percetakan, bukan sahaja buku malah surat khabar, al-Quran, jurnal dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, kami percaya terhadap keupayaan syarikat ini mampu untuk mencetak apa sahaja dokumen berkaitan keselamatan dalam tempoh masa yang singkat,” ujarnya.

Ultimate Print dan Darphane menandatangani MoU bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama memajukan industri teknologi percetakan di Malaysia.

Objektif perjanjian tersebut untuk membina hubungan formal antara kedua-dua entiti perniagaan berkenaan.

Selain itu, kerjasama tersebut dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan negara ini.

Menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan inovasi, sekali gus membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.

Sebagai rekod, Ultimate Print merupakan sebuah syarikat percetakan unggul di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun yang menyediakan perkhidmatan percetakan buku, digital, pembungkusan, akhbar dan al-Quran.

Sementara Darphane pula merupakan sebuah firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan yang ditubuhkan pada 1467 sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Firma itu berpangkalan di Istanbul itu bertanggungjawab mengendalikan penghasilan syiling, wang kertas, cop mohor rasmi, pingat dan setem hasil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!